AME Elite, AME REIT Dapat Kelulusan Urus Niaga Hartanah Industri Bernilai RM100.8 Juta
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- AME Elite Consortium Bhd dan AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) telah mendapat kelulusan daripada pemegang saham serta pemegang unit untuk urus niaga RM100.8 juta yang melibatkan tiga hartanah perindustrian di Johor.
Menurut syarikat itu, tiga hartanah perindustrian berkenaan adalah I-Park SAC 34, I-Techvalley 35 dan I-TechValley 36, yang terletak dalam taman perindustrian AME Elite di Iskandar Malaysia.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng melalui satu kenyataan berkata kelulusan pemegang saham mengukuhkan kekuatan model bersepadunya.
"Urus niaga ini selepas selesai akan membuka kunci modal untuk penempatan semula dalam pelan pembangunan taman perindustrian kami, yang mana kami sedang memajukan inisiatif utama seperti Northern TechValley di Pulau Pinang dan usaha sama kami di Selangor dengan KLK Land," katanya.
Pendekatan ini akan membolehkan syarikat tersebut memanfaatkan pelaburan langsung asing dan domestik, bersama-sama dengan permintaan yang amat baik bagi penyelesaian ruang perindustrian yang berkualiti tinggi dan bersepadu, sambil mengukuhkan pangkalan pendapatan berulangnya melalui AME REIT.
AME REIT telah memulakan pengambilalihan terkininya dalam tahun kewangan 2025, yang turut membabitkan tujuh hartanah perindustrian berjumlah RM220.3 juta.
-- BERNAMA