BERITA TERKINI   Sultan Pahang titah pembinaan Hospital Maran supaya disegerakan | Gelaran, darjah kebesaran bukan perisai untuk bermaharajalela - Sultan Pahang | Malaysia cadang Thailand, Kemboja guna mekanisma Jawatankuasa Am Sempadan selesaikan pertelingkahan diplomatik - Mohamad Hasan | PM Anwar akan terus berhubung dengan Pemangku PM Thailand dan PM Kemboja bagi mencadang proses damai libat kedua-dua negara | Permohonan sertai bidang TVET meningkat daripada 25,000 kepada 229,000 pemohon dalam tempoh dua tahun -- TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan MSM Akhiri Kenaikan Tiga Hari Susulan Prestasi Eksport Lemah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif mengakhiri kenaikan selama tiga hari dengan ditutup lebih rendah pada Jumaat, terjejas akibat prestasi eksport yang lemah, menurut seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pengumuman Rusia mengenai penggantungan duti eksport bagi minyak bunga matahari yang boleh menjejaskan daya saing minyak sawit dalam pasaran minyak sayuran, turut memberi tekanan kepada harga.

“Harga MSM terjejas akibat kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran. Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 setiap tan dengan paras rintangan pada RM4,380 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 susut sebanyak RM38 kepada RM4,221 setiap tan, kontrak September 2025 turun RM52 kepada RM4,258 setiap tan manakala kontrak Oktober 2025 merosot RM57 kepada RM4,273 setiap tan.

Kontrak November 2025 menyusut sebanyak RM51 kepada RM4,283 setiap tan, Disember 2025 berkurang RM39 kepada RM4,290 setiap tan manakala Januari 2026 mengecil RM31 kepada RM4,290 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 82,818 lot daripada 75,735 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka susut kepada 229,303 kontrak daripada 233,661 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Julai Selatan turun sebanyak RM50 kepada RM4,230 setiap tan.

-- BERNAMA