BERITA TERKINI   Kemajuan Malaysia di bawah kerangka MADANI perlu dipacu teknologi, berteraskan nilai moral yang kukuh - Anwar | PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Antara RM4.22-RM4.24 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka berlegar antara RM4.22 dan RM4.24 minggu depan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan AS (fed) dijangka mengekalkan kadar dasarnya, kata penganalisis. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran ini berkait rapat dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang dijadualkan pada 29-30 Julai, 2025.

"Fed berkemungkinan dijangka mengekalkan Kadar Dana Persekutuan pada paras 4.50 peratus. Petunjuk teknikal pula menunjukkan kadar pertukaran dolar AS-ringgit berada dalam zon neutral ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat yang agak sempit antara 4.2080–4.2280, dipacu oleh berita berkaitan perdagangan dan sentimen luaran.

Bagi prestasi minggu ke minggu, ringgit mencatat peningkatan berbanding dolar AS apabila ditutup pada 4.2195/2245 berbanding 4.2410/2455 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8529/8565 daripada 2.8517/8549 dan merosot berbanding euro kepada 4.9507/9566 daripada 4.9336/9388 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.6786/6853 daripada 5.6999/7060 sebelum itu.

Berbanding mata wang ASEAN, prestasi ringgit dilihat lebih kukuh.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2937/2978 daripada 3.3027/3065, naik berbanding baht Thai kepada 13.0268/0478 daripada 13.3027/3065, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/258.9 daripada 260.2/260.6, dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.40 daripada 7.41/7.43 pada minggu sebelumnya.

--  BERNAMA