Kelestarian Nadi Penggerak Tioman
Oleh Abdul Hamid A Rahman
TIOMAN, 26 Julai (Bernama) -- Di Pulau Tioman, kelestarian tidak dilihat sebagai satu perbelanjaan. Ia dianggap sebagai satu pelaburan.
Dan ia merupakan satu langkah yang bijak.
Di sini, terumbu karang, hutan hujan, dan pesisir pantai bukan hanya sekadar pemandangan indah untuk pelancongan. Ia adalah nadi ekonomi pulau, nadi budayanya dan tunjang bagi masa depannya.
Semasa tugasan baru-baru ini ke pulau syurga ini, penulis dapat melihat beberapa usaha padu yang diambil untuk melindungi warisan semula jadinya.
Di Pusat Maklumat Taman Laut Pulau Tioman, pengunjung dihidangkan dengan naratif ekologi pulau itu yang dikeliling laut membiru, hutan menghijau dan keseimbangan yang menghubungkan manusia dan alam semulajadi. Pameran dan bahan paparan di sana memperincikan bagaimana Tioman, yang terletak di luar pantai timur Semenanjung Malaysia memperoleh reputasinya sebagai salah satu pulau tercantik di dunia.
Pulau Tioman juga sering dianggap sebagai syurga oleh para penyelam.
Menurut paparan maklumat di pusat itu, air laut biru berkilau pulau itu serta pasir pantainya yang memutih, selain suhu panas dan jarak penglihatan dalam air antara 20 hingga 30 meter (64-96 kaki), menjadikannya sesuai untuk aktiviti snorkeling dan menyelam.
Laut yang tenang telah membiakkan terumbu karang, dihuni pelbagai spesies karang, fauna marin dan flora dan para pengunjung juga mungkin berpeluang bertemu dengan pari manta, jerung paus, penyu dan kumpulan ikan karang berwarna terang.
Selain lautnya, Tioman juga memiliki salah satu kawasan hutan hujan terakhir yang belum tercemar di Laut China Selatan.
Pulau Tioman telah diwartakan sebagai rizab hidupan liar, melindungi pelbagai fauna termasuk kukang, binturong, kancil, landak, dan kera ekor panjang.
Kawasan hutan hujan daratan Tioman dilindungi buat pertama kalinya pada tahun 1972 di bawah Rizab Hidupan Liar Pulau Tioman. Pada 1994, laut di sekelilingnya, yang seluas lebih 25,000 hektar, telah dijadikan sebagai Taman Laut di bawah Akta Perikanan 1985.
Kisah Lelaki dan Lautan
Mohd Don Mustapha, 54, turut berada di pantai itu, bukan untuk menjual pakej lawatan atau bercerita mengenai pusat peranginan, sebaliknya berkongsi kisah yang lebih memerlukan perhatian -- hidupan penyu Tioman yang terancam.
“Saya orang tempatan,” katanya ringkas memulakan bicara dan memperkenalkan dirinya sebagai anak jati yang lahir dan dibesarkan di Pulau Tioman.
“(Jika) dulu, ketika berumur 11 tahun atau 12 tahun dan kena pula musimnya, saya boleh jumpa ribuan ekor anak penyu dalam masa seminggu yang boleh mencecah puluhan ribu bagi tempoh April hingga Ogos," katanya.
Namun, itu kisah lebih empat dekad lepas dan kini, beliau menganggap sebagai bertuah jika dapat melihat angka sama dalam tempoh setahun.
Berdepan angka hidupan itu yang kian membimbangkan, beliau dan saudara lelakinya memutuskan untuk memulakan usaha murni mereka.
Tanpa sebarang latihan formal dan hanya berbekalkan semangat, mereka memulakan usaha pemuliharaan dengan menggunakan wang sendiri selain keikhlasan dan kecekalan.
“Kami minta kebenaran Exco Pahang untuk menjaga penyu yang baru menetas. Dalam tempoh tiga bulan hingga empat bulan saja sudah memadai untuk pastikan anak penyu dapat berpeluang hidup apabila dilepaskan ke laut,” katanya.
Pada masa ini, usaha Mohd Don itu membabitkan dua spesies penyu yang ditemui di sekitar Tioman iaitu penyu agar dan penyu karah.
Anak-anak penyu yang baru menetas, termasuk seawal usia empat hari, dijaga secara rapi dalam sangkar buatan tangan yang diletakkan berhampiran pantai.
“Malam semalam pun ada anak penyu yang baru menetas,” katanya.
Mereka turut menerima kehadiran pengunjung, termasuk bagi tujuan bergambar namun semuanya dilakukan secara berhati-hati.
“Boleh tengok dan ambil gambar, cuma jangan sentuh,” katanya berkongsi mengenai ketelitian daam mengendalikan hidupan marin itu.
Tapak pemuliharaan yang diberi nama Campsite Sekuci, bukanlah sebuah pusat rasmi, tiada kemudahan besar sebaliknya hanya khemah, pasir namun mewah dengan niat dan keinginan untuk melindungi hidupan itu.
“Ya, ini bukan pusat konservasi besar. Cuma khemah, tempat kami jaga anak-anak penyu,” katanya.
Usaha yang dimulakan dengan kecekalan dua bersaudara berganding bahu bagi mengelak telur penyu menjadi makanan biawak, monyet, malah manusia, kini semakin mendapat tarikan terutama masyarakat yang sebelum ini menganggap telur penyu sebagai makanan semata-mata.
“Sekarang ni orang kampung pun dah faham. Kalau jumpa telur, mereka akan tanam dulu. Mereka akan tanya boleh ke macam ni atau menyerahkannya kepada kami untuk dijaga,” katanya.
Jiwanya terlalu besar dan amat sayangkan penyu, sehinggakan sanggup berada di situ saban hari walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga yang menetap di Johor Bahru.
Bagi Mohd Don, ada rumah dan penghuni pantai itu yang perlu dijaga dan dipulihara demi memastikan kelangsungan hidupan itu.
Anak-Anak
Beliau kemudiannya memangggil anak tetasan penyu itu ‘anak-anak’ dan ‘budak-budak’ (kedua-dua ungkapan yang bermaksud kanak-kanak), sekali gus membuktikan rasa kasih sayangnya yang mendalam terhadap haiwan kecil itu.
Beberapa penyu turut diberikan nama. Salah seekornya, Aishah yang kini berusia tujuh bulan, telah dilepaskan ke laut tetapi kembali ke daratan pada hari yang sama, terus ke dalam dakapannya.
“Apabila saya membebaskannya ke laut, saya berkata, ‘Jika awak mahu saya menjaga awak, awak kembalilah. Dan Aishah kembali,” katanya ketika mengimbau peristiwa itu dengan suara yang penuh emosi.
Jacko, penyu berusia sembilan bulan pula akan dilepaskan apabila dia sudah bersedia.
Apabila ditanya mengapa beliau sanggup melakukan semua itu, tanpa pembiayaan, tanpa pengiktirafan? Dengan mudah beliau menjawab. Kasih sayang.
Matlamatnya bukan keuntungan, tegasnya, tetapi bagi generasi akan datang, dan kepuasan peribadi apabila melihat ‘anak-anaknya’ dapat kembali ke laut.
Tiada papan tanda dipasang di sini. Tiada kempen korporat. Hanya seorang lelaki, pantai, dan kepercayaan bahawa jika beliau tidak bertindak, tiada sesiapa yang akan melakukannya.
Berbekal semangat itulah, penyu masih mendarat.
Dan mereka akan terus datang. Tetapi semua ‘anak-anak’ ini memerlukan seseorang seperti Mohd Don Mustapha dalam setiap diri kita untuk melindungi mereka, dalam sebarang bentuk sumbangan atau sebagainya.
Tahun Melawat Malaysia 2026 sudah pasti akan membawa gelombang pelancong. Tetapi jika pulau ini, dan penduduk yang memastikan ia hidup dan bertahan, terus memupuk semangat dalam diri mereka demi pulau ini, sudah pasti apa yang menanti lebih daripada sekadar pelancong dan pendapatan.
Ia sebenarnya lebih memberi makna.
-- BERNAMA