MBSB Jangka Pertumbuhan Ekonomi Berterusan Tetapi Rendah Pada 2025
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan berterusan pada 2025 walaupun pada kadar yang lebih perlahan berikutan Indeks Pelopor (IP) kekal mendatar pada Mei 2025, kata MBSB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu dalam nota hari ini berkata trend jangka panjang yang lancar menunjukkan IP kekal di bawah ambang 100.0 mata pada Mei 2025, menandakan momentum pertumbuhan yang sederhana pada masa hadapan.
IP adalah alat yang digunakan untuk memberikan petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan hala tuju ekonomi dalam jangka masa terdekat.
“Walaupun ketidaktentuan luaran masih berterusan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh penggunaan domestik yang berdaya tahan berikutan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, inflasi yang rendah dan stabil serta pelonggaran dasar monetari baru-baru ini.
“Penurunan kos pinjaman dijangka meningkatkan kuasa beli dan memudahkan akses kepada kredit sekali gus menggalakkan perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh,” katanya.
MBSB berkata ekonomi merekodkan pertumbuhan dua angka yang berdaya tahan dalam komponen utama, dengan kategori import sebenar bagi semikonduktor meningkat 19.1 peratus tahun ke tahun manakala jumlah syarikat baharu yang didaftarkan menokok 15.9 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, katanya Indeks Serentak (IS), yang mencerminkan prestasi ekonomi semasa, mencatat pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2025, mencapai 127.7 mata.
"Pertumbuhan yang mampan itu disokong oleh keuntungan menyeluruh meliputi semua komponen IS, terutamanya sumbangan sebenar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun," kata MBSB.
-- BERNAMA