Pasaran Getah Ditutup Rendah Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Isnin, sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan aktiviti pengambilan untung yang menyebabkan penurunan jangka pendek, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran terus dijejaskan oleh data ekonomi China yang lemah.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah dan kekurangan bekalan getah asli disebabkan hujan berterusan di negara-negara pengeluar utama,” katanya kepada Bernama.

Pada 4.47 petang, minyak mentah Brent naik 0.48 peratus kepada US$68.75 setong.

Katanya pemain pasaran berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan hasil rundingan perdagangan baharu antara AS dan China.

“AS dan China dijangka melanjutkan gencatan tarif mereka selama 90 hari lagi dalam rundingan perdagangan yang bermula pada Isnin di Stockholm.

“Sementara itu, penangguhan sementara kebanyakan tarif yang dipersetujui pada Mei lepas dijadualkan tamat pada 15 Ogos 2025,” katanya.

Selain itu, katanya AS telah menghentikan sementara sekatan terhadap eksport teknologi ke China dalam usaha meneruskan perjanjian perdagangan dengan negara tersebut.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 19.5 sen kepada 734.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 2.5 sen kepada 576.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA