Maxim Sahkan Semua Pemandu Aktif Memiliki EVP Sah
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Maxim Malaysia (Maxim) telah memastikan bahawa semua pemandu rakan kongsi aktifnya memiliki permit kenderaan e-panggilan (EVP) yang sah dan berpeluang mendapatkan insurans menerusi syarikat rakan kongsinya.
Pengarahnya, Mohd Hazwan Musley berkata firma itu menghargai peluang bagi meneruskan operasinya di Malaysia di bawah penyeliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan memastikan ‘kami menyediakan perkhidmatan yang berguna, tersedia dan boleh dipercayai (seperti yang ditetapkan)’.
“Maxim kekal komited untuk memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan tanpa gangguan sambil mematuhi peraturan yang ditetapkan. Ia merupakan satu langkah penting ke hadapan ketika kami terus menyumbang kepada sektor pengangkutan dan ekonomi digital di Malaysia dengan tumpuan kepada operasi yang bertanggungjawab dan nilai jangka panjang dalam perkhidmatan kami kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Maxim dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive) menjadi tumpuan selepas gagal mematuhi segala keperluan perkhidmatan bagi beroperasi di negara ini, termasuk EVP mandatori, dan berisiko lesen mereka digantung atau dibatalkan.
Maxim berkata ia terus mengutamakan kebajikan dan keselamatan kedua-dua pemandu serta pelanggannya dan syarikat itu menawarkan fleksibiliti dalam memilih aktiviti secara sambilan atau sepenuh masa serta peluang pendapatan bagi ribuan rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan dan luar bandar.
Syarikat itu berkata ia turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dengan melabur dalam penyelesaian mobiliti pintar yang dipacu teknologi yang meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan dan kemampuan.
“Maxim berharap dapat bekerjasama rapat dengan APAD dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan persekitaran pengangkutan yang cekap dan boleh dipercayai bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.
Pada 24 April, APAD mengeluarkan notis pembatalan lesen kepada kedua-dua Maxim dan InDrive, berkuat kuasa dari 24 Julai, selepas audit mendedahkan kegagalan pematuhan utama, khususnya berkaitan keperluan EVP.
Berikutan itu, kedua-dua syarikat mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan mereka diberikan tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 24 Julai bagi mematuhi sepenuhnya syarat perkhidmatan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan kawal selia, tanpa sebarang kelonggaran lanjut.
-- BERNAMA