Paramount Cadang Beli 28 Peratus Pegangan Envictus International Pada Harga RM126.32 Juta
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Paramount Corporation Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya Venice Concepts Sdn Bhd bercadang untuk membeli pegangan ekuiti sebanyak 28 peratus dalam Envictus International Holdings Ltd daripada JAG Capital Holdings Sdn Bhd pada harga S$38.33 juta (RM126.32 juta).
Envictus, sebuah syarikat liabiliti terhad, diperbadankan dan berpusat di Singapura dengan kegiatan utama dalam pegangan pelaburan dan perkhidmatan pengurusan bagi anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam perniagaan berkaitan makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Paramount berkata cadangan pembelian itu melibatkan 85.17 juta saham atau mewakili 28 peratus kepentingan dalam Envictus, bebas daripada sebarang bebanan, serta dengan semua hak dan keistimewaan bagi pertimbangan tunai yang dipersetujui.
Selepas selesai pengambilalihan, Venice akan memegang 28 peratus kepentingan strategik dalam Envictus, menjadikan Paramount antara pemegang saham utama syarikat tersebut mengikut peraturan penyenaraian Bursa Singapura.
Pengambilalihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan masa hadapan kumpulan itu, kata Paramount.
Dalam satu kenyataan berasingan, Paramount berkata pelaburan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam strategi kumpulan untuk mempelbagaikan portfolionya dan mengembangkan perniagaan ke dalam sektor F&B yang berpotensi tinggi.
“Pengambilalihan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Paramount dalam segmen F&B secara lebih meluas selepas pelupusan perniagaan pendidikannya pada 2018.
“Sejak itu, Paramount telah membuat beberapa pelaburan penting termasuk dalam syarikat pemula digital serta pembangunan hartanah luar negara melalui usaha sama dengan Navarang Charoennakhon Company Ltd di Thailand dan EWI Capital Bhd,” katanya.
-- BERNAMA