Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, sejajar dengan kejatuhan pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS).

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,326.40 setiap auns troy daripada US$3,340.10 setiap auns troy semalam. Kontrak Ogos 2025 merosot kepada US$3,344.40 setiap auns troy daripada US$3,358.30 setiap auns troy, manakala kontrak September 2025 turun kepada US$3,350.30 setiap auns troy daripada US$3,364.20 setiap auns troy.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 ditutup rendah kepada US$3,380.40 setiap auns troy daripada US$3,394.30 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 68 lot berbanding 37 lot semalam, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 105 kontrak daripada 70 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$3,305.25 setiap auns troy seperti yang ditetapkan oleh London Bullion Market Association pada 28 Julai, 2025.

-- BERNAMA