PT Bank CIMB Niaga Catat Untung Sebelum Cukai Disatukan IDR4.4 Trilion Pada Separuh Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- PT Bank CIMB Niaga Tbk telah melaporkan keuntungan sebelum cukai disatukan yang belum diaudit sebanyak IDR4.4 trilion bagi separuh pertama 2025 berakhir pada 30 Jun, 2025 (S12025), yang diterjemahkan kepada pendapatan sesaham sebanyak IDR137.43. 

Pengarah Presiden CIMB Niaga Lani Darmawan berkata bank itu mencapai prestasi yang seimbang pada S12025, mencerminkan daya tahan strateginya dan disiplin pelaksanaannya.

Katanya, CIMB Niaga merekodkan pertumbuhan pinjaman yang sihat dan berhemat sejajar dengan keperluan risiko bank dan dinamik pasaran, sambil mengekalkan kualiti aset yang stabil, modal yang teguh dan mudah tunai serta kepelbagaian asas perolehan yang baik - yang semuanya mengukuhkan kekuatan francaisnya.

“Menuju ke hadapan, kami akan terus memperuntukkan modal secara strategik bagi memacu pertumbuhan yang mampan dan pulangan terlaras risiko yang lebih kukuh.

“Memandangkan kami berpegang teguh kepada matlamat ‘Advancing Customers and Society’, kami kekal fokus untuk menyediakan penyelesaian perbankan yang lebih mudah, lebih baik dan lebih pantas, membolehkan pelanggan berkembang maju serta menyokong kemajuan inklusif untuk komuniti yang menerima khidmat kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CIMB Niaga mengekalkan kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah kecukupan modal serta nisbah pinjaman kepada deposit masing-masing sebanyak 24.0 peratus dan 87.3 peratus, manakala jumlah aset disatukan berjumlah IDR357.9 trilion pada 30 Jun 2025.

Jumlah deposit meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun kepada  IDR261.9 trilion, menunjukkan nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) yang teguh sebanyak 69.0 peratus.

Sementara itu, CASA meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun, didorong oleh hubungan pelanggan yang lebih kukuh dan titik sentuh digital yang dipertingkatkan.

Jumlah pinjaman meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun kepada IDR231.8 trilion, didorong oleh prestasi kukuh merentas segmen utama.

Perbankan korporat merekodkan pertumbuhan tertinggi pada 9.3 peratus tahun ke tahun, manakala perusahaan kecil dan sederhana naik 7.3 peratus tahun ke tahun dan perbankan pelanggan berkembang dengan stabil pada 4.7 peratus tahun ke tahun.

“Peningkatan dalam pinjaman runcit sebahagian besarnya disebabkan oleh pinjaman kereta, yang meningkat 26.7 peratus tahun ke tahun,” kata CIMB Niaga.

Sementara itu, Unit Perniagaan Syariah CIMB Niaga (CIMB Niaga Syariah) mengekalkan kedudukannya sebagai unit perniagaan syariah terbesar di Indonesia.

Menurut CIMB Niaga, pada 30 Jun 2025, jumlah pembiayaannya mencecah IDR59.6 trilion, menandakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak IDR1.5 trilion atau 2.5 peratus, khususnya didorong oleh pertumbuhan dalam segmen borong dan komersial.

Bank itu berkata jumlah deposit pihak ketiga berada pada IDR48.2 trilion.

Katanya, CIMB Niaga Syariah kekal fokus untuk menambah baik komposisi pembiayaannya, khususnya dengan mengembangkan pembiayaan kos rendah menerusi perkongsian strategik Islam dan penglibatan yang lebih mendalam dengan komuniti Islam.

“Dengan kemampanan menjadi satu keutamaan, hampir 25 peratus daripada jumlah pembiayaan bank (bersamaan dengan IDR57.6 trilion) menyokong peralihan yang adil, ekonomi rendah karbon, dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Lani.

Sejajar dengan komitmen bank terhadap kemampanan, CIMB Niaga turut mengambil bahagian dalam pelancaran perdagangan karbon antarabangsa oleh platform Bursa Karbon Indonesia, IDX Carbon pada Januari tahun ini.

“Kami juga telah meningkatkan penggunaan tenaga boleh ubah bagi menyokong operasi mampan dengan memasang panel solar di salah satu cawangan kami di Yogyakarta pada Jun 2025,” kata Lani.

-- BERNAMA