BERITA TERKINI   Angkatan Tentera Malaysia akan memudah cara mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Thailand–Kemboja dari 4 hingga 7 Ogos | Sultan Ibrahim lakar sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia - Istana Negara | 

Saham MMM Akan Digantung, Bakal Dinyahsenarai Selepas Pelan Regularisasi Ditolak

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Dagangan saham MMM Group Bhd akan digantung mulai 7 Ogos, 2025 selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak pelan regularisasi syarikat itu kerana gagal memenuhi peraturan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) keperluan penyenaraian di Pasaran Utama.

MMM (sebelum ini dikenali sebagai Asia Media Group Bhd) berkata sahamnya juga akan dinyahsenarai pada 4 September, 2025, melainkan rayuan terhadap penolakan pelan regularisasi yang dicadangkan dan penyahsenaraian dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 29 Ogos (tempoh masa rayuan).

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tamat tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,” kata agensi pemasaran itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

MMM berkata sekiranya ia dinyahsenarai, syarikat itu akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak tersenarai.

“Ia masih mampu meneruskan operasi dan perniagaannya, serta meneruskan penstrukturan semula korporat dan para pemegang saham masih berpeluang menerima ganjaran berdasarkan prestasi syarikat,” tambahnya.

Bagaimanapun, para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi di sebut harga dan diniagakan di Bursa Securities, tetapi “kepentingan dan hak pemegang saham akan kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016,” katanya.

-- BERNAMA