Bursa Dibuka Rendah, Pelabur Berhati-hati Menjelang Pengumuman RMK13

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada Khamis berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadualkan hari ini dan selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bahawa penurunan kadar faedah akan ditangguhkan untuk tempoh lebih lama.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.30 mata atau 0.15 peratus kepada 1,522.20 daripada 1,524.50 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.51 mata kepada 1,523.99.

Pasaran secara menyeluruh positif dengan 162 kaunter untung mengatasi 130 kaunter rugi. Sebanyak 277 kaunter tidak berubah, 1,926 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 198.38 juta saham bernilai RM78.92 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur menantikan pengumuman RMK13 pada tengah hari ini walaupun impak pasaran serta-merta mungkin terhad berikutan fokus pembaharuan fiskal jangka panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini. Pelan tindakan pembangunan lima tahun itu akan melakar hala tuju ekonomi negara dari 2026 hingga 2030.

Thong berkata sentimen turut dipengaruhi oleh prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur berikutan keputusan Fed untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan ia terus menilai impak daripada tarif AS.

“FBM KLCI kekal kurang menggalakkan, bergerak dalam jajaran kecil sebelum ditutup tinggi. Tanpa pemangkin yang jelas, kami menjangka indeks akan diniagakan antara 1,520 dan 1,530 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.48 dan IHH Healthcare naik tujuh sen kepada RM6.70. Public Bank merosot enam sen kepada RM4.23, Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM13.24 dan CIMB susut dua sen kepada RM6.53.

Dalam senarai yang diniagakan secara aktif, Pharmaniaga berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen, Pestec International merosot 1.5 sen kepada 13.5 sen dan TWL mendatar pada 2.5 sen. Zetrix AI menambah dua sen kepada 86.5 sen dan Northeast Group naik lima sen kepada 69 sen.

Kaunter paling untung termasuklah PPB, yang meningkat 11 sen kepada RM9.42, Dutch Lady Milk Industries dan ITMax System, masing-masing naik 10 sen kepada RM27.30 dan RM4.05.

Antara kaunter paling rugi, Nestle merosot 10 sen kepada RM87.30, Bursa Malaysia berkurangan enam sen kepada RM4.23 dan MMM Group susut 4.5 sen kepada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 7.20 mata kepada 11,428.33, Indeks FBMT 100 merosot 8.23 mata kepada 11,190.47 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 11.09 mata kepada 11,485.11.

Indeks FBM 70 naik 25.87 mata kepada 16,515.57 dan Indeks FBM ACE meningkat 5.74 mata kepada 4,599.62.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 56.71 mata kepada 17,241.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.12 mata kepada 160.77 serta Indeks Perladangan merosot 1.93 mata kepada 7,405.58. Indeks Tenaga naik 4.11 mata kepada 747.82.

-- BERNAMA