BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | 

MITI Terus Perkukuh Inisiatif Negeri Yang Selari Dengan Aspirasi Nasional - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperkukuh semua inisiatif negeri yang selari dengan aspirasi nasional dan memberi ruang yang kondusif untuk pelaksanaannya di bawah payung Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI sentiasa mengiktiraf dan menyokong inisiatif pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri sebagai pelengkap kepada agenda nasional dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

“Antara contoh terbaik ialah usaha yang diterajui oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), melalui penubuhan Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia dan juga pelaksanaan program pertukaran semikonduktor global.

“Inisiatif seperti ini akan diselaraskan serta diintegrasikan secara strategik ke dalam kerangka pembangunan bakat ini di bawah pelan NSS, khususnya dalam teras pembangunan modal insan yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan industri semikonduktor,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta menteri menjelaskan langkah yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri dalam mencapai  sasaran untuk mendapatkan atau melatih keupayaan hingga 60,000 jurutera di bawah NSS.

Tengku Zafrul turut menyeru kerajaan negeri Selangor untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan berkenaan program pembangunan bakat sedia ada di peringkat nasional.

“Pendekatan ini selari dengan matlamat nasional untuk menangani isu kekurangan jurutera dan profesional berkemahiran tinggi dalam keseluruhan rantai nilai semikonduktor.

“MITI juga komited untuk membina ekosistem yang lebih kolaboratif dan juga inklusif yang melibatkan kerajaan negeri, industri dan juga institusi pendidikan tinggi. Ini bagi memastikan pembangunan bakat dalam sektor semikonduktor ini dilaksanakan secara mampan dan juga bersifat jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA