BERITA TERKINI   Sultan Ibrahim lakar sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia - Istana Negara | 

Usaha Konsolidasi Fiskal Djangka Kurangkan Defisit Fiskal Bawah Tiga Peratus, Kawal Hutang -- RMk13

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan usaha konsolidasi fiskal dijangka dapat mengurangkan defisit fiskal kepada di bawah tiga peratus dan memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus kepada Anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menurut dokumen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertemakan "Melakar Semula Pembangunan" itu, amalan tatakelola yang baik, berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] akan diguna pakai dalam pengurusan kewangan awam. 

"Kutipan hasil kerajaan akan ditambah baik melalui pelaksanaan sistem invois elektronik secara berperingkat sehingga tahun 2026 bagi meningkatkan pendigitalan kutipan cukai. 

“Selain itu, peluasan asas hasil cukai di bawah Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) seperti pelaksanaan cukai global minimum (GMT) serta semakan berkala cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksana bagi membolehkan penyediaan lebih banyak kemudahan dan bantuan untuk kesejahteraan rakyat," menurut dokumen itu.

Memetik dokumen yang merangkumi perancangan lima tahun itu, kecekapan perbelanjaan akan ditambah baik melalui pelaksanaan subsidi dan bantuan yang lebih bersasar serta pengurusan hutang yang lebih berhemat. 

Menurut dokumen dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi itu, kecekapan pengurusan fiskal akan turut dipertingkatkan melalui reformasi pengurusan projek melibatkan pemantauan dan penilaian secara lebih sistematik. 

"Mekanisme kawalan kos akan ditambah baik dengan mengambil kira elemen utama dalam pengiraan kos, termasuk kos kitaran hayat. 

"Pelaksanaan projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) juga akan dirasionalisasi dengan memberi tumpuan kepada model yang berasaskan bayaran oleh pengguna bagi memberi pilihan perkhidmatan kepada rakyat," menurut dokumen itu.

-- BERNAMA