BERITA TERKINI   Malaysia akan menyokong pengenaan tarif sifar terhadap komoditi seperti koko, getah dan minyak sawit dieksport ke AS yang kini tertakluk kepada duti 19 peratus - Tengku Zafrul | Siasatan terperinci, menyeluruh dijalankan bagi kenal pasti punca kematian Pegawai Palapes UTM - KPD Kota Tinggi | Kematian Pegawai Palapes UTM: Hasil bedah siasat dapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan - KPD Kota Tinggi | Siasatan terperinci, menyeluruh dijalankan bagi kenal pasti punca kematian Pegawai Palapes UTM - OCPD Kota Tinggi | Malaysia terus mengenakan duti eksais terhadap kereta, tembakau dan alkohol diimport dari AS - Tengku Zafrul | 

Chin Hin Jual Kepentingan Dalam Metex Steel Pada Harga RM70 Juta

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Chin Hin Group Bhd melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Metex Steel Sdn Bhd yang terdiri daripada 50 juta saham biasa kepada EC Excel Wire Sdn Bhd pada harga tunai RM70 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Chin Hin berkata selepas selesai cadangan pelupusan itu, Metex Steel tidak lagi akan menjadi anak syarikat milik penuhnya.

“Cadangan pelupusan ini memberi peluang kepada syarikat untuk memanfaatkan potensi dan menjana keuntungan dalam Metex Steel.

“Ia juga bertujuan untuk menyelaras dan menyusun semula aktiviti perniagaan syarikat dan dijangka menambah baik aliran tunai,” kata Chin Hin.

Menurut makluman itu, cadangan pelupusan berkenaan akan menghasilkan keuntungan kira-kira RM6.1 juta kepada kumpulan, dengan mengambil kira aset bersih RM63.9 juta setakat 31 Mac, 2025.

“Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan ini akan digunakan untuk menyokong keperluan modal kerja kumpulan, membiayai inisiatif pengembangan perniagaan dan untuk aktiviti perniagaan lain yang dijangka lebih menjanjikan.

“Dari segi pecahan sebenar perbelanjaan untuk tujuan itu dan jangka masa penggunaan penuh hasil yang diperoleh tidak dapat ditentukan pada ketika ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar syarikat pada masa yang berkaitan,” tambahnya.

Cadangan pelupusan berkenaan dijangka selesai menjelang suku keempat 2025.

-- BERNAMA