Pembelian Berterusan Dorong Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi positif pada Jumaat, didorong oleh aktiviti pembelian berterusan di kaunter wajaran tinggi terpilih di samping pemangkin baharu yang menambah baik sentimen pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 18.72 mata atau 1.24 peratus kepada 1,531.97 daripada 1,513.25 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 6.62 mata lebih tinggi kepada 1,519.87 dan bergerak dalam julat 1,519.70 hingga 1,533.10 sepanjang sesi dagangan pagi.
Keseluruhan pasaran kekal positif, dengan 462 kaunter untung mengatasi 395 kaunter rugi, manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,157 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.03 bilion sekuriti bernilai RM1.03 bilion.
Menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menyatakan FBM KLCI mungkin mencatatkan peningkatan semula yang amat diperlukan, dengan potensi menguji semula paras rintangan antara 1,530 hingga 1,550.
Jangkaan itu berasaskan pengumuman tarif sebanyak 19 peratus mengikut perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat serta pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 yang bersifat pragmatik, jelas bank pelaburan itu.
“Bagaimanapun, pelabur dijangka kekal dengan sentimen berhati-hati sepanjang Ogos, dipengaruhi oleh aliran keluar bersih asing yang berterusan.
“Selain itu, cabaran domestik seperti rasionalisasi subsidi dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut berpotensi melemahkan sentimen pengguna dan menjejaskan jangkaan terhadap pendapatan korporat,” menurut HLIB.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat 20 sen kepada RM9.59, Public Bank menambah enam sen kepada RM4.27, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.06, CIMB melonjak 25 sen kepada RM6.80, manakala IHH Healthcare naik dua sen kepada RM6.67.
Bagi saham aktif, Pegasus Heights, Pharmaniaga dan TWL masing-masing kekal tidak berubah pada setengah sen, 17.5 sen dan 2.5 sen. Tanco naik satu sen kepada 84.5 sen, manakala Ekovest meningkat dua sen kepada 43.5 sen.
Antara kaunter paling untung Malaysian Pacific Industries melonjak 46 sen kepada RM20.60, UMS Integration yang baru disenaraikan di Pasaran Utama menambah 38 sen kepada RM5.38, dan Allianz Malaysia naik 24 sen kepada RM17.66.
Antara kaunter paling rugi, Nestle merosot 28 sen kepada RM87.80, Mesiniaga susut 16 sen kepada RM1.30, manakala Perusahaan Sadur Timah Malaysia kurang 11 sen kepada RM1.79.
Bagi pasaran yang lebih meluas, Indeks FBM Emas melonjak 120.26 mata kepada 11,520.73, Indeks FBMT 100 meningkat 123.95 mata kepada 11,280.46 dan Indeks FBM ACE naik 2.24 mata kepada 4,620.45.
Indeks FBM Emas Syariah menokok 73.65 mata kepada 11,535.32, manakala Indeks FBM 70 meningkat 123.39 mata kepada 16,728.00.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 316.52 mata kepada 17,469.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.24 mata kepada 159.38, dan Indeks Tenaga menokok 1.71 mata kepada 750.05, manakala Indeks Perladangan susut 0.19 mata kepada 7,394.85.
-- BERNAMA