BERITA TERKINI   Speaker Rus'sele Eizan tarik balik notis pemakluman keperluan PRK bagi tiga kerusi DUN Perlis | Kerajaan Negeri Perlis isytihar esok sebagai cuti peristiwa - Menteri Besar | Ketua Staf Markas ATM Azhan Md Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan 2026 - Mohamed Khaled | 

Aspirasi Capai Kejayaan RMK13 Bergantung Kepada Keazaman Politik, Pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menetapkan visi transformasi struktur yang berani, keterangkuman sosial dan daya tahan terhadap iklim namun keberkesanannya bergantung kepada keazaman politik dan pelaksanaan yang berdisiplin, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menjelaskan tumpuan strategik kerajaan terhadap semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan pelancongan menunjukkan hasrat yang jelas untuk meningkatkan rantaian nilai global.

Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang disokong oleh infrastruktur digital, menjadi asas utama bagi usaha perindustrian pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi Malaysia, tambahnya.

“Jika dilaksanakan dengan berkesan, semua inisiatif ini berpotensi meningkatkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global serta menarik pelaburan ke dalam sektor-sektor strategik,” menurut Kenanga Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

Kenanga Investment bagaimanapun turut menyatakan cabaran utama adalah dalam aspek pelaksanaan, memandangkan pelan jangka masa panjang sebelum ini sering terjejas akibat kelembapan birokrasi, pertindihan mandat serta kelemahan penguatkuasaan.

Pengenalan sistem pemantauan “Pelan Pelaksanaan Dasar” dan pembaharuan tadbir urus seperti MyDigital ID dan Akta Iltizam merupakan langkah ke arah yang betul, jelasnya.

Bagaimanapun, hasilnya akan bergantung kepada keupayaan mengatasi jurang koordinasi antara agensi, dan dari segi sejarahnya, menjadi penghalang utama.

“Projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang berpotensi meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan ketidakseimbangan wilayah, namun terdedah kepada kelewatan, kos sebenar melebihi kos anggaran serta kelewatan pengambilan tanah,” tambahnya.

Bank pelaburan itu juga menyatakan peluasan taman perindustrian halal dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura menambahkan lagi kesukaran pelaksanaan, terutama apabila kepentingan kerajaan negeri dan Persekutuan tidak selari.

Dari segi luaran, Malaysia kini berdepan persekitaran perdagangan yang lebih mencabar berbanding kitaran perkembangan sebelum ini.

Ini berikutan perpecahan rantaian perdagangan global, persaingan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat dan China, serta ketidaktentuan pasaran komoditi yang boleh menjejaskan model berasaskan eksport diamalkan Malaysia, tambahnya.

Di peringkat domestik, usaha pengukuhan fiskal juga boleh bertembung dengan tanggungjawab sosial yang semakin meningkat, khususnya apabila populasi semakin menua dan kos penjagaan kesihatan terus meningkat, menurut Kenanga Investment.

-- BERNAMA