BERITA TERKINI   Anwar akan lancar Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini di Putrajaya | Institusi pondok akan dibangunkan dengan kemudahan teknologi baharu – PM Anwar | 

Capsphere, CGC Digital Jalin Kerjasama Perluas Pembiayaan PKS Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Capsphere, platform pembiayaan rakan setara berasaskan aset pertama di Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan CGC Digital, anak syarikat teknologi kewangan (fintech) Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk memperkenalkan produk pembiayaan baharu bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Produk pembiayaan PKS tersebut disokong oleh jaminan kredit CGC Digital, direka bagi mengurangkan risiko kredit dan memperluas akses pendanaan bagi PKS yang layak.

Dalam satu kenyataan hari ini, CGC berkata menerusi kerjasama itu PKS kini boleh memohon pembiayaan menerusi platform Capsphere dan mendapat manfaat daripada perkongsian kredit risiko yang disokong oleh CGC Digital.

Penawaran itu termasuk pembiayaan Akaun Belum Terima (AR) dan Akaun Belum Bayar (AP), dengan pembiayaan AR membolehkan PKS menerima pembayaran awal bagi invois mereka, manakala pembiayaan AP menyokong pembayaran pembekal tepat pada waktunya bagi meningkatkan aliran tunai, kelangsungan operasi dan hubungan dengan pembekal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capsphere Yoon Jun Jie berkata pelancaran produk pembiayaan AR dan AP yang disokong oleh jaminan CGC Digital menandakan pencapaian penting dalam misi syarikat untuk menggalakkan PKS mendapatkan akses modal yang adil dan selamat.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen CGC Digital untuk memperkasa pembiayaan inklusif berasaskan teknologi bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, di samping memperkukuh ekosistem pembiayaan digital melalui perkongsian strategik pengurangan risiko.

Sementara itu, CEO CGC Digital Yushida Husin berkata kerjasama ini merupakan penambahan penting kepada ekosistem teknologi kewangan CGC yang semakin berkembang.

“Kami berbangga dapat menyokong platform digital yang pesat membangun dalam memperluas akses pembiayaan sambil berkongsi risiko bagi menggalakkan daya tahan PKS,” katanya.

Antara ciri utama inisiatif Capsphere-CGC Digital termasuk jaminan kredit berasaskan perkongsian risiko bagi transaksi PKS yang layak, akses pembiayaan yang dipertingkat bagi perniagaan yang kurang mendapat perkhidmatan dan sedang berkembang, serta integrasi lancar ke dalam model pembiayaan berasaskan aset Capsphere.

Produk tersebut kini sudah dilancarkan, dengan nota pembiayaan PKS pertama kini dibuka di platform Capsphere.

PKS di seluruh Malaysia boleh memohon secara dalam talian dan mendapat manfaat daripada sokongan perkongsian risiko kredit CGC Digital, sekali gus membantu mengurangkan halangan pembiayaan sambil mengekalkan disiplin komersial.

-- BERNAMA