BERITA TERKINI   Angkatan Tentera Malaysia akan memudah cara mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Thailand–Kemboja dari 4 hingga 7 Ogos | Sultan Ibrahim lakar sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia - Istana Negara | 

Penurunan Tarif AS Dorong Perdagangan, Kukuh Hubungan Dua Hala  - FMM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pengurangan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) mampu meningkatkan daya saing kos keseluruhan produk yang dihasilkan di Malaysia untuk pasaran AS, serta menunjukkan isyarat penting hubungan perdagangan dua hala yang semakin kukuh.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai menyifatkan keputusan itu tepat pada masanya dan strategik, terutamanya dalam persekitaran perdagangan global semasa.

 “Meskipun penurunan enam mata peratusan itu dilihat kecil, ia memberi kesan pada pemain industri, terutamanya bagi sektor yang beroperasi dengan margin yang kecil atau mereka yang bersaing dalam rantaian bekalan yang sensitif dengan perubahan harga global.

“FMM percaya kos tarif turut ditanggung keseluruhan rantaian bekalan meskipun ada yang berpendapat impak eksport Malaysia mungkin terhad berikutan kos tarif ditanggung pengimport AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden AS, Donald Trump hari ini menandatangani perintah eksekutif untuk mengubah kadar tarif timbal balas bagi berpuluh-puluh negara termasuk Malaysia, daripada 25 peratus kepada 19 peratus, menjelang tarikh akhir perjanjian perdagangan yang ditetapkannya pada 1 Ogos.

Tarikh kuat kuasa tarif baharu itu ialah pada 8 Ogos, seperti diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat.

Dalam pada itu, Soh berkata pengurangan tarif bukan sahaja memberi manfaat kepada pengeksport Malaysia tetapi juga kepada pengimport AS kerana ia memperbaiki persamaan kos keseluruhan dan boleh merangsang permintaan terhadap barangan Malaysia, khususnya bagi sektor yang sensitif terhadap harga.

“Pelarasan tarif ini merintis laluan ke arah mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih seimbang dan saling menguntungkan antara Malaysia dan AS.

“Ia dijangka menyokong pertumbuhan eksport, meningkatkan akses pasaran dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.

FMM juga menjangkakan beberapa industri berasaskan eksport termasuk elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, produk berasaskan getah serta barangan industri berproses akan mendapat manfaat daripada peningkatan daya saing dan permintaan.

“Sebarang perubahan dalam jumlah eksport dalam tempoh terdekat ini mungkin berlaku secara beransur-ansur. Walaupun sebahagian pesanan mungkin telah diawalkan sebelum ini, pengurangan tarif ini berkemungkinan menggalakkan lebih banyak pengeksport mempertimbangkan untuk mengambil pesanan baharu pada masa akan datang.

“Pengilang juga sedar tentang ketidaktentuan pasaran global ketika ini, termasuk gangguan rantaian bekalan yang berterusan, dan mereka dijangka mengambil kira faktor ini dalam perancangan serta tindak balas terhadap perubahan permintaan pasaran pada masa hadapan,” kata Soh.

-- BERNAMA