BERITA TERKINI   Isu Laut Sulawesi dibincang berlandaskan undang-undang, sejarah dan persetujuan Sabah - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan pertahan, lindungi sepenuhnya hak Sabah kerana ia sebahagian dari Malaysia - PM Anwar | Thailand, Kemboja setuju rundingan damai di Malaysia kerana politik negara yang stabil dengan ekonomi membangun - PM Anwar | 

Agrobank Lancar Perkhidmatan Pembukaan Akaun Bank Atas Talian

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Agrobank hari ini melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun bank secara atas talian, sistem perbankan digital inovatif membolehkan pelanggan membuka akaun tanpa perlu hadir ke cawangan bank.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata perkhidmatan baharu ini membolehkan proses pembukaan akaun itu diselesaikan dalam tempoh sekitar 10 minit sahaja secara atas talian berbanding 30 hingga 45 minit melalui kaedah tradisional di kaunter.

“Dengan memanfaatkan liputan internet meluas, pelanggan kini boleh membuka akaun deposit serendah RM20 pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu ke cawangan bank secara fizikal.

"Agrobank sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan kecekapan proses lebih mesra pelanggan terutamanya bagi mereka yang mempunyai jadual seharian padat atau tinggal di kawasan jauh dari kemudahan perbankan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perkidmatan itu sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abd Ghani dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Arthur berkata sistem perbankan digital itu turut membantu mengurangkan kos operasi bank sehingga 30 peratus melalui pemansuhan proses manual, penggunaan kertas dan memperluaskan perkhidmatan perbankan secara digital.

Beliau berkata kemudahan akses perbankan atas talian berkenaan mampu menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi mendapatkan perkhidmatan Agrobank dengan lebih mudah dan efisien.

"Ini selaras dengan matlamat kami untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam agenda kewangan inklusif negara," katanya.

Bagi mengatasi cabaran liputan internet terhad di kawasan pedalaman, Agrobank turut memperkenalkan inisiatif pembukaan akaun menggunakan iPad dikenali sebagai AgroTouch disokong teknologi satelit Starlink, membolehkan penyambungan internet walaupun di lokasi terpencil.

Agrobank mensasarkan pembukaan akaun secara digital meningkat antara 10 hingga 15 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama dengan sasaran 1,500 akaun baharu dan seterusnya mencapai peningkatan 20 peratus dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, pada majlis sama, Arthur turut melancarkan Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 berjumlah RM200 juta dengan Agrobank sebagai agensi pelaksana bertujuan memperkukuh sektor agromakanan negara.

-- BERNAMA