Maybank Lantik Malique Firdauz Sebagai Pegawai Bertanggungjawab Maybank Islamic
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Maybank telah melantik Ketua Pegawai Kewangannya, Malique Firdauz Ahmad Sidique sebagai Pegawai Bertanggungjawab (OIC) kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Perbankan Islam dan CEO Maybank Islamic Bhd (MIB) berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Nor Shahrizan Sulaiman, yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai OIC, CEO Kumpulan, Perbankan Islam dan CEO MIB, yang berhasrat meneruskan kerjaya profesionalnya di luar kumpulan itu.
Presiden dan CEO Kumpulan Maybank Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata syarikat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nor Shahrizan atas perkhidmatannya selama 16 tahun kepada kumpulan itu, dan menguruskan tugas sebagai OIC selain sebagai Timbalan CEO MIB dan Ketua Perbankan Komuniti.
“Malique Firdauz akan mengambil alih pengurusan harian MIB, selain tugas semasanya sehingga CEO MIB yang baharu dilantik,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA