Malaysia Pertahan Dasar Kewangan, Perolehan Dan Bumiputera Berikutan Penurunan Tarif Eksport AS
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan kekal tegas dalam perkara berkaitan dasar dalam sistem kewangan, perolehan kerajaan dan kepentingan Bumiputera semasa rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam pegangan saham ekuiti asing di sektor strategik untuk melindungi industri tempatan, pada masa sama turut membenarkan peluang mencukupi untuk penyertaan asing.
“Terdapat permintaan had pegangan saham maksimum untuk pegangan saham asing ekuiti dalam sektor strategik yang kami juga tidak bersetuju, justeru kami tidak membenarkannya dalam memastikan industri tempatan dilindungi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media khas mengenai semakan semula kadar tarif AS ke atas eksport Malaysia hari ini.
Tengku Zafrul berkata Malaysia tidak boleh memenuhi tuntutan kerajaan AS berhubung duti eksais, bagaimanapun Malaysia masih memerlukan permit import dari AS untuk tiga produk tertentu - kereta, tembakau dan alkohol.
“Duti eksais adalah antara isu red line (had/batasan dalam rundingan) bagi kami manakala pada masa sama, industri automotif dilihat sangat penting kepada AS.
"Kami tidak berkompromi dengan duti eksport, pengecualian menyeluruh daripada keperluan pelesenan import untuk produk AS dan liberalisasi sepenuhnya keperluan ekuiti untuk sektor strategik," kata Tengku Zafrul.
AS mengumumkan hari ini bahawa ia mengenakan penurunan 19 peratus tarif ke atas import Malaysia. Tarif berkuat kuasa tujuh hari selepas pukul 12:01 pagi, pada 1 Ogos, barangan yang sudah dalam transit diberikan tempoh penangguhan selama tujuh hari untuk mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan.
Sejak April lepas, Malaysia telah berunding dengan Washington untuk mengurangkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini.
Rundingan tarif Malaysia-AS bermula pada 6 Mei dan berakhir pada 31 Julai, 2025.
-- BERNAMA