Rangka Kerja Tarif Baharu Perkukuh Kerjasama AS, Malaysia — AmCham
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pengumuman kadar tarif baharu dapat memupuk kerjasama lebih erat yang akan menggalakkan peningkatan peluang pekerjaan serta pelaburan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AmCham Malaysia).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Siobhan Das berkata tarif baharu ini menyediakan hala tuju yang tersusun bagi perniagaan untuk membina pelaburan strategik yang menyokong inovasi, mengukuhkan rantaian bekalan dan berusaha ke arah kemakmuran bersama.
“Kami memuji kedua-dua pihak atas ketekunan dalam menjayakan rundingan yang kompleks ini.
“AmCham Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan ahli-ahli kami, pihak berkuasa Malaysia dan rakan sejawat di AS bagi memupuk keterlibatan yang lebih mendalam serta memastikan hubungan perdagangan AS-Malaysia kekal kukuh, dinamik serta bersedia untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan itu juga melihat kadar tarif terkini yang diumumkan sebagai satu langkah positif ke hadapan dalam mengekalkan daya saing negara di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Namun, kami juga mengakui iaitu kerja keras mesti bermula sekarang iaitu ketika kita bersama-sama menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baharu ini serta meneruskan strategi untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan menjadi asas kukuh selama lebih 60 tahun,” katanya.
-- BERNAMA