BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Belian Harga Rendah, Jangkaan Pengecualian Tarif AS

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat, dengan tidak meneruskan penyusutan terdahulu berikutan aktiviti belian semasa harga rendah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh laporan bahawa minyak sawit mungkin dikecualikan daripada tarif Amerika Syarikat (AS), yang dijangka menambah daya tarikan terhadap minyak sawit.

“Kami melihat paras harga MSM disokong pada RM4,200 satu tan dan rintangan pada RM4,350 satu tan,” kata Ng kepada Bernama.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan menggesa tarif sifar untuk komoditi seperti koko, getah dan eksport minyak sawit ke AS.

Beliau berkata sekiranya AS mendapati bahawa produk berkenaan tidak dapat dihasilkan di negara mereka, terdapat peluang yang baik untuk dikecualikan daripada tarif sebanyak 19 peratus.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos meningkat RM18 kepada RM4,193 satu tan, September 2025 menambah RM18 kepada RM4,226 satu tan dan Oktober 2025 menokok RM15 kepada RM4,245 satu tan.

Kontrak November 2025 meningkat RM16 kepada RM4,263 satu tan, Disember 2025 naik RM19 kepada RM4,279 satu tan dan Januari 2026 menokok RM23 kepada RM4,291 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 71,301 lot hari ini daripada 52,614 pada Khamis manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 224,913 kontrak daripada 223,190.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan menokok RM30 kepada RM4,230 satu tan.

-- BERNAMA