Felda Kini Kuasai 92 Peratus Saham FGV, Peneroka Bakal Nikmati Untung - TPM Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini menguasai sebanyak 92 peratus saham dalam FGV Holdings Bhd (FGV), sekali gus membuka laluan kepada pemilikan penuh serta penstrukturan semula syarikat itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata proses pemilikan penuh itu akan dimuktamadkan oleh Bursa Malaysia dan keuntungan daripadanya dijangka disalurkan semula kepada warga peneroka.
Selain itu, pemilikan itu turut melibatkan pegangan oleh masing-masing kerajaan negeri Pahang dan Sabah yang muncul antara pemegang saham FGV selepas syarikat berkenaan melalui proses penamatan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Menerusi pegangan lima peratus kerajaan negeri Pahang dan kerajaan negeri Sabah, mereka juga (kini) telah menjadi pemegang saham FGV,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Warga Peneroka Felda di sini, hari ini.
FGV sebelum ini telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Felda telah menerima semua penerimaan sah bagi baki saham biasa syarikat itu yang menjadikan pegangan Felda mencecah 91.73 peratus.
Dagangan saham FGV dijangka digantung selepas lima hari pasaran dari tarikh tutup tawaran pada 15 Ogos, 2025.
-- BERNAMA