BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Paramount Yakin Projek Embun Hills Di Pulau Pinang Terus Raih Sambutan

BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos (Bernama) -- Paramount Property (Utara) Sdn Bhd, anak syarikat Paramount Corp Bhd, yakin projek terbaharunya di sini, Paramount Embun Hills mendapat sambutan dan terjual sepenuhnya susulan faktor lokasi yang strategik serta reka bentuknya.

Paramount Embun Hills adalah pembangunan perbandaran berstatus pegangan bebas seluas 28 hektar di sepanjang Jalan Kulim dan merangkumi 566 unit kediaman serta 30 unit kedai pejabat komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property Wilayah Utara Wang Chong Hwa berkata sebanyak 45 peratus segmen kediaman fasa pertama projek itu telah dibeli manakala bahagian komersial habis dijual sepenuhnya.

“Kami telah melancarkan 114 unit rumah teres dan rumah berkembar jenis kluster dalam Fasa 1 yang berharga RM800,000 hingga RM900,000 seunit.

“Selain itu, kami juga sudah memulakan kerja pembinaan dan keseluruhan projek Embun Hills yang dijangka siap pada 2029,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corp Jeffrey Chew berkata projek itu adalah pembangunan ketiga kumpulan di Pulau Pinang, selepas Utropolis Batu Kawan dan Paramount Palmera.

Beliau juga menyifatkan Embun Hills sebagai menjadi penanda aras baharu pembangunan perbandaran mampan di wilayah utara Semenanjung dengan infrastruktur yang dirancang teliti.

Ini, katanya, termasuk menggunakan tenaga solar selain pengurusan sisa bertanggungjawab, penjimatan air dan pemuliharaan biodiversiti dengan lebih 550 pokok dan tumbuhan asli dalam pelan landskap induknya.

“Sewaktu melancarkan kedai pejabat kami, The Shoppes at Embun Hills, kesemua 30 unit dua tingkat itu telah habis dibeli pada hari pelancaran.

“Kami amat menghargai keyakinan kukuh pemilik perniagaan dan pelabur serta berharap dapat bersama-sama merancakkan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata pelancaran projek itu tepat dan sejajar dengan peranan penting Seberang Perai dalam aspirasi Pulau Pinang untuk pembangunan yang seimbang dan inklusif.

Beliau berkata di bawah visi Pulau Pinang 2030, kerajaan negeri berusaha untuk mewujudkan sebuah negeri yang menumpukan aspek keluarga, hijau dan pintar dengan infrastruktur, perumahan dan perkhidmatan awam yang menepati keperluan masyarakat.

“Bagi menyokong usaha ini, kerajaan negeri telah melanjutkan pemberian diskaun lima peratus di bawah Kempen Pemilikan MADANI sehingga tahun depan bagi memudahkan usaha pemilikan rumah, mengurangkan lambakan hartanah dan merangsang sektor hartanah secara keseluruhannya,” katanya.

-- BERNAMA