MITI Ketuai Perbincangan Mengenai PED, Pelan Strategik AEC Di Mesyuarat HLTF-EI ASEAN

KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Kemajuan mengenai Keberhasilan Utama Ekonomi (PED)  adalah antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-48 selama dua hari bermula hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob turut menilai pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, dengan tumpuan untuk mempercepat komitmen yang belum selesai.

MITI dalam kenyataan yang diedarkan pada majlis makan malam HLTF-EI di sini malam ini berkata mesyuarat berkenaan juga akan melibatkan perkongsian pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global, termasuk laporan terkini daripada Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN. 

Selain itu, turut dikongsikan adalah perkembangan terkini mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategik AEC 2026-2030, yang menjadi panduan kepada agenda pembangunan ekonomi jangka panjang ASEAN.

“Mesyuarat ini juga akan membincangkan persediaan bagi Kepengerusian ASEAN oleh Filipina pada 2026, termasuk kesinambungan inisiatif dan perancangan ke hadapan,” menurut kenyataan itu.

HLTF-EI ke-48 adalah sebahagian daripada acara Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” yang memfokuskan kepada pencapaian utama dan hala tuju strategik untuk masa depan ekonomi ASEAN.

Selain mesyuarat HLTF-EI, Dialog Analisis antara ASEAN-United Kingdom (UK) akan turut dianjurkan melibatkan HLTF-EI dan pegawai kanan ekonomi UK termasuk ketua ahli ekonomi Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK.

Dialog ini bertujuan untuk memupuk perkongsian pengetahuan di peringkat tinggi mengenai risiko ekonomi global baharu dan trend mega, menilai potensi impak terhadap agenda integrasi ekonomi ASEAN dan menggalakkan kerjasama di peringkat kerja dalam membangunkan alat dan metodologi analisis untuk memantau dan menilai risiko ekonomi global dan serantau.

Melalui kepimpinan yang kukuh dan kerjasama serantau, Malaysia berhasrat untuk memastikan hasil daripada mesyuarat HLTF-EI ke-48 ini akan menjadi landasan kepada ASEAN yang lebih teguh dan bersedia mengharungi masa depan selepas 2025.

-- BERNAMA