BERITA TERKINI   Undang-undang sedia ada perlu diteliti semula bagi tangani penjualan dadah kecil-kecilan - Saifuddin Nasution | AADK berjaya pulihkan klien dengan kadar hampir 80 peratus - Saifuddin Nasution | Kerajaan MADANI menurunkan defisit secara berfasa bagi mengurangkan beban hutang negara - PM Anwar | Malaysia tegas pertahankan beberapa peruntukan yang bertepatan dengan dasar negara dalam rundingan perdagangan dengan AS -- PM Anwar | Malaysia sedia hantar pasukan pemantau di sempadan Thailand-Kemboja jika diminta kedua-dua negara - PM Anwar | 

Model Ekonomi Berteraskan Sabah Pacu Pertumbuhan Ekonomi Mampan - Pakar

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 5 Ogos (Bernama) -- Strategi ekonomi berteraskan Sabah yang baharu membuka laluan kepada usaha pembangunan jangka panjang yang lebih bersasar, sekali gus menawarkan harapan terhadap pemulihan ekonomi negeri dan penciptaan pekerjaan, kata seorang pakar.

Bekas Presiden Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT) Malaysia merangkap Naib Presiden CILT Antarabangsa bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata Model Ekonomi Baharu Sabah (SNEM) yang baharu diperkenalkan itu tepat pada masanya dan diperlukan bagi sebuah negeri yang memiliki keperluan pembangunan tersendiri.

SNEM dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah dan Institut Kajian Pembangunan, merangka kerangka kerja yang pragmatik bagi menangani cabaran struktur ekonomi negeri serta memacu daya tahan ekonomi menerusi perancangan yang bersifat lokal.

“Sabah sekian lama bergantung kepada kerangka nasional yang lazimnya tidak mencerminkan realiti tempatan. SNEM memperkenalkan pendekatan yang berpandukan pengalaman, fleksibel dan inklusif dalam perancangan ekonomi yang meletakkan rakyat Sabah sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata model itu diperkenalkan ketika negeri itu berdepan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sederhana iaitu 1.1 peratus pada 2024 serta kadar pengangguran 7.7 peratus, sekali gus menzahirkan keperluan mendesak untuk reformasi ekonomi.

SNEM menangani isu-isu ini menerusi fokus terhadap autonomi hasil, pembangunan infrastruktur, pelaburan berimpak tinggi serta pembangunan kapasiti, kata beliau.

“Antara syor utama SNEM ialah pelaksanaan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 bagi meningkatkan hasil negeri, serta peruntukan dana pembangunan Persekutuan berjumlah RM42 bilion bagi mempercepatkan projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, naik taraf bekalan air dan elektrik serta keterhubungan digital luar bandar.

“(Syor lain termasuk) mempercepatkan usaha mempelbagaikan sektor ke dalam bidang seperti ekonomi biru, eko-pelancongan dan tenaga boleh baharu, serta pembinaan taman perindustrian dan kemudahan pemprosesan hiliran untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata pelan hala tuju SNEM merangkumi tempoh 2025 hingga 2030, dengan tumpuan jangka pendek terhadap penyelesaian hasil yang saksama dan pemecutan pembangunan infrastruktur.

"Sementara itu, matlamat jangka panjang tertumpu kepada pembinaan Sabah yang berdaya saing secara digital, pelbagai dari segi industri dan berdikari,” kata Ramli.

Beliau menegaskan pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan mengekang penghijrahan bakat tempatan.

Katanya, pengukuhan latihan vokasional, galakan keusahawanan serta penyediaan peluang pekerjaan dan laluan inovasi untuk rakyat Sabah yang pulang ke negeri asal merupakan elemen penting dalam kemajuan jangka panjang.

Pelan ini bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya satu pendekatan strategik dan inklusif untuk membuka potensi sebenar Sabah serta memastikan pembangunan masa depan yang lebih saksama, mampan dan berpaksikan tempatan, kata beliau.

-- BERNAMA