BERITA TERKINI   Sultan Ibrahim berangkat tiba di Rusia untuk Lawatan Negara enam hari | Pelaburan dalam biodiversiti bandar mampu tingkatkan kesejahteraan rakyat dan hasil ekonomi - TPM Fadillah | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS berikutan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang meningkat, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.2260/2310 berbanding dolar AS daripada 4.2350/2385 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata aset berisiko seperti ekuiti meningkat berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah akan memberi impak positif kepada kewangan korporat, terutamanya pada kos pinjaman mereka.

Mengenai Fed AS, katanya wakil Fed dijangka memberikan penjelasan mengenai hala tuju kadar faedah AS pada masa depan.

Beliau berkata beberapa pegawai kanan Fed - Presiden Fed San Francisco Mary Daly, Presiden Fed Boston Susan Collins dan Gabenor Fed Lisa Cook akan berucap kepada orang ramai pada Khamis.

“Kami berpendapat pasaran ingin mendengar pendirian terkini dalam kalangan Fed mengenai cara kadar faedah akan berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang, terutamanya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8618/8654 daripada 2.8652/8677 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding pound kepada 5.6159/6226 daripada 5.6296/6342 dan tinggi berbanding euro kepada 4.8772/8830 daripada 4.8978/9018 sebelum ini.

Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang serantau.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2793/2834 daripada 3.2878/2908, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0408/0627 daripada 13.0452/0616, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 257.8/258.2 daripada 258.2/258.5 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.33/7.34 daripada 7.38/7.39 sebelum ini.

-- BERNAMA