Citaglobal Cadang Ambil Alih 12.8 Peratus Kepentingan Dalam Mutiara Perlis Pada Harga RM40 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Citaglobal Bhd bercadang untuk mengambil alih 12.8 peratus kepentingan tidak langsung dalam Mutiara Perlis Sdn Bhd pada harga RM40 juta.

Mutiara Perlis adalah pemaju induk bagi Koridor Maritim Perlis (PMC), dianggarkan menelan kos pembangunan kasar sebanyak RM27.8 bilion. ia merupakan usaha sama antara Mutiara Infra dan kerajaan negeri Perlis menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis.

Mutiara Infra memegang 80 peratus kepentingan manakala MBI memegang baki 20 peratus.

Citaglobal dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibuat melalui pembelian 20 peratus kepentingan atau 600,000 saham dalam Manjaran Sdn Bhd yang mewakili 12.8 peratus kepentingan efektif dalam Mutiara Perlis.

Kepentingan dalam Manjaran akan diperoleh daripada Dedap Rimbun Sdn Bhd dan dibayar sepenuhnya menerusi terbitan 42.11 juta saham baharu Citaglobal pada harga terbitan 95 sen sesaham.

PMC bakal menjadi sebuah hab logistik bersepadu merangkumi Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Pelabuhan Sanglang Perlis, dan Hab Tenaga Perlis.

Disokong oleh kerajaan negeri Perlis dan kerajaan persekutuan, PIP mempunyai kepentingan strategik di bawah agenda pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata penglibatan dan pelaburan kumpulan dalam PMC sejajar dengan visi mereka untuk menjadi pemain utama dalam pembangunan infrastruktur dan peralihan tenaga di Malaysia.

“Selain itu, pelaburan ekuiti kami meningkatkan prospek untuk mendapatkan kontrak-kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) pada masa depan berkaitan dengan PMC, mengukuhkan portfolio Citaglobal dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan,” katanya.

Mohamad Norza berkata perjanjian (cadangan pengambilalihan) itu diadakan tepat pada masanya kerana Fasa 1 PIP baru-baru ini telah siap dan dijangka mula beroperasi tidak lama lagi yang akan menyumbang secara signifikan kepada keuntungan kumpulan tersebut.

"Pelan induk PMC termasuk komponen berkaitan tenaga seperti Hab Tenaga Perlis akan melibatkan penjanaan berasaskan gas, tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), pelaburan ini juga sejajar dengan strategi pertumbuhan Citaglobal dalam tenaga baharu, pada masa sama mengukuhkan asasnya dalam kejuruteraan dan pembinaan,” katanya.

-- BERNAMA