Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata bagaimanapun, kenaikan harga minyak mentah menyokong sentimen pasaran.
“Harga minyak meningkat semula selepas mencecah paras terendah dalam tempoh lima minggu pada hari sebelumnya, didorong oleh kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan berikutan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas India disebabkan pembelian minyak mentah Rusia,” katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, minyak mentah Brent meningkat 0.83 peratus kepada US$68.20 setong.
Bagaimanapun, katanya kenaikan seterusnya dikekang oleh prestasi ekonomi global bercampur-campur disebabkan ketidaktentuan mengenai tarif perdagangan AS.
“Defisit perdagangan AS berkurangan pada Jun berikutan penurunan ketara dalam import barangan pengguna dan jurang perdagangan dengan China merosot kepada paras terendah dalam tempoh lebih 21 tahun, bukti terkini tarif Trump memberi impak ketara terhadap perdagangan global,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 4.0 sen kepada 724.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 1.5 sen kepada 565.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA