Pelan Mitigasi Risiko Penting, Elak Gangguan Aerotren Berulang - Pakar Ekonomi
Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah disambung semula pada 1 Julai selepas digantung selama 28 bulan, dengan janji untuk meningkatkan kesambungan, memudahkan pergerakan penumpang yang lancar antara terminal serta melenyapkan gangguan.
Bagaimanapun, hanya beberapa hari selepas beroperasi semula, sistem itu mengalami beberapa kerosakan sekali gus mengecewakan kalangan penumpang dan mengundang kritikan awam, penelitian serta kebimbangan mengenai kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan itu.
Bagi berlaku adil kepada KLIA dan pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), mereka menjelaskan gangguan kecil berlaku pada 2 Julai apabila seorang penumpang menghalang pintu platform daripada ditutup sehingga menyebabkan operasi aerotren itu tergendala.
Isu tersebut telah diatasi serta-merta dan tidak menyebabkan sebarang gangguan kepada perkhidmatan itu.
Dalam satu lagi insiden pada 4 Julai, MAHB memaklumkan perkhidmatan aerotren tergendala apabila satu daripada pam saliran mengalami kerosakan teknikal ekoran hujan lebat, sekali gus menjejaskan proses penyingkiran air secara automatik.
Satu lagi insiden melibatkan aerotren berlaku pada 4 Ogos apabila berlaku gangguan selama 15 minit akibat isu teknikal kecil.
Hanya kerana seorang penumpang menyebabkan pintu tersekat, namun ribuan yang menggunakan aerotren setiap hari, membangkitkan persoalan sama ada “kesilapan manusia” sedemikian akan terus mengganggu kelancaran operasi.
Terdapat juga gesaan daripada beberapa pihak yang mahu Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat punca gangguan perkhidmatan, yang didakwa telah berlaku sekurang-kurangnya lima kali sejak perkhidmatan tersebut disambung semula pada 1 Julai.
Aerotren KLIA telah digantung pada Mac 2023 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf selepas mengalami kerosakan.
Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang beriklim khatulistiwa dan kerap mengalami hujan, apakah jaminan bahawa pam saliran yang lain tidak akan rosak dan menimbulkan satu lagi isu “teknikal”?
Hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata gangguan di Terminal 1 baru-baru ini bukan disebabkan oleh kegagalan mekanikal tetapi ekoran gangguan teknikal kecil yang telah diselesaikan dengan segera.
Lebih penting lagi, gesaan Loke agar MAHB memberi perhatian “serius” terhadap kontraktor serta vendor yang bertanggungjawab dalam aspek penyelenggaraan perkhidmatan itu, hanya menegaskan lagi kepentingan untuk melipatgandakan usaha demi mengelak kejadian sama berulang.
Walaupun hanya masalah teknikal, ini mampu menjadi satu isu negara yang serius jika Malaysia menyasarkan untuk terus menjadikan KLIA sebagai hab peneraju penerbangan serantau.
Kecaman itu pastnya menjadi lebih ketara ketika Malaysia menjadi tuan rumah terhadap pelbagai sidang kemuncak dan mesyuarat ASEAN.
Persoalan yang terlintas di minda -- apakah kita telah melakukan sebaik mungkin untuk memastikan infrastruktur lapangan terbang ini?, malah lebih utama, adakah budaya penyelenggaraan itu menepati piawaian antarabangsa?
Oleh itu, kita perlu berusaha untuk melenyapkan kritikan bahawa infrastruktur Malaysia mungkin kelas pertama, namun budaya selenggaranya adalah kelas ketiga dengan pengurusan dan kecekapannya tidak memuaskan.
Dalam landskap penerbangan yang semakin sengit, kita tidak seharusnya ketinggalan dari segi asas, lebih-lebih lagi selepas membelanjakan sebanyak RM456 juta bagi kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan itu.
Ahli Ekonomi (Penerbangan dan Aeroangkasa) Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur Profesor Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata adalah penting untuk mempunyai unjuran mengenai potensi berlakunya kegagalan dalam tempoh masa tertentu.
“Dalam konteks sedemikian, satu pelan mengelak risiko boleh diwujudkan dengan berdasarkan unjuran-unjuran itu,” katanya kepada Bernama.
Infrastruktur, Persepsi dan Kedudukan Serantau
Mohd Harridon berkata walaupun puncanya pelbagai, impak lazimnya sama -- kredibiliti tercalar, keyakinan pengguna terjejas dan nilai aset yang susut.
“Gangguan atau penurunan (kualiti) perkhidmatan, secara realitinya, adalah paparan daripada usaha dalam menguruskan projek secara holistik dan menyeluruh.
“Perkhidmatan yang terjejas itu hanya menyebabkan keyakinan pengguna merosot dan seterusnya boleh menghakis nilai kewangan aset serta sebahagian daripada organisasi itu sendiri,” katanya.
Kedudukan lapangan terbang pada peringkat antarabangsa terutamanya apabila bersaing dengan negara jiran ASEAN untuk status hab serantau, banyak bergantung kepada kelancaran perkhidmatannya, kata beliau.
"Skytrax dan penarafan kedudukan lapangan terbang global lain mengukur prestasi mengikut pelbagai aspek. Setiap penurunan dalam nilai perkhidmatan akan secara langsung menjejaskan kedudukan penarafan lapangan terbang," katanya.
Menurut beliau, setiap gangguan, kelewatan atau penggantungan operasi, walaupun ditangani dengan cepat tetap memberi kesan berpanjangan terhadap reputasi.
Sebagai contoh, pada 2001, KLIA pernah menduduki lapangan terbang kedua terbaik di dunia. Bagaimanapun, pada 2013 kedudukannya jatuh ke tangga 14.
Masalah Sistemik atau Sekadar Isu Peralihan?
Walaupun ada yang menganggap gangguan operasi seperti masalah aerotren hanyalah masalah teknikal sementara atau ‘penyakit permulaan’, Mohd Harridon menegaskan bahawa isu sebenar adalah lebih mendalam.
"Jika dilihat dengan lebih teliti, ia sebenarnya melibatkan masalah teknikal. Namun, jika ditinjau secara menyeluruh, ia mencerminkan keperluan meneliti semula kerangka pengurusan, proses dan pelaksanaan sedia ada,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana bertindak pantas dan bertanggungjawab apabila berlaku gangguan.
MAHB, sebagi pengendali lapangan terbang negara ini sebelum ini segera memohon maaf kepada penumpang yang terjejas dan mengambil tindakan susulan bagi memulihkan semula perkhidmatan aerotren dengan kadar segera.
Loke pula memberi jaminan bahawa aerotren baharu KLIA kini beroperasi dengan lancar dan dibina mengikut piawaian antarabangsa.
Walaupun kerosakan yang berlaku sebelum ini mungkin berpunca daripada faktor luar kawalan seperti cuaca atau masalah mekanikal, MAHB dilihat proaktif setiap kali berlaku insiden dengan menyediakan bantuan segera kepada penumpang.
Namun, isu sebenar bukan sekadar membaiki apa yang rosak, tetapi untuk memastikan ia terus kekal berfungsi, lebih-lebih lagi selepas kerja penaiktarafan dijalankan selama lebih dua tahun.
KLIA pula, seperti yang sedia maklum, merupakan pintu masuk antarabangsa utama negara dan menjadi pengalaman pertama serta terakhir pelawat terhadap Malaysia.
Selain itu, dengan sidang kemuncak dan mesyuarat ASEAN yang dijangka semakin giat diadakan mulai Oktober tahun ini, KLIA pasti akan menjadi tumpuan ketika dunia sedang memperhatikan Malaysia.
Pengajaran untuk Jangka Masa Panjang
Mohd Harridon menekankan keperluan kepada metodologi pengurusan projek lebih berstruktur yang menggabungkan heuristik pakar, kajian kes sebenar dan pemodelan kuantitatif.
Heuristik merujuk kepada maklumat yang digunakan atau membolehkan penyelesaian masalah atau membuat keputusan.
“Rangka kerja ini kelihatan baik secara teorinya, tetapi pelaksanaannya memerlukan penambahbaikan. Kita perlu mengubahnya dengan menggunakan pembelajaran berstruktur daripada projek lepas dan contoh sebenar,” katanya.
Sebagai pengguna yang baru-baru ini menaiki aerotren, iaitu 10 hari selepas perkhidmatannya disambung semula, pengalaman penulis bercampur baur.
Walaupun berfungsi, penulis merasakan perjalanan itu tersangkut-sangkut dan tidak lancar atau stabil jika dibandingkan dengan perkhidmatan aerotren pertama yang telah beroperasi selama 25 tahun sejak 1998.
Sebaliknya, perjalanan yang dinikmati penulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada hari yang sama adalah lancar dan tanpa gangguan.
Pengangkutan awam di China beroperasi dengan lancar, mempunyai kesalinghubungan yang baik, menepati masa dan gangguan yang minimum, yang bukan sahaja mencerminkan kecekapan kejuruteraan, malah penyelenggaraan yang rapi dan perancangan yang teliti.
Malaysia bukanlah kekurangan matlamat mahupun keupayaan, tetapi yang kita perlukan adalah konsistensi dan komitmen untuk membina sistem bukan sahaja untuk beroperasi, malah untuk kekal bertahan.
Diharapkan, gangguan yang berlaku baru-baru ini adalah gangguan terakhir dalam sistem ini yang sedang menyesuaikan diri.
Menjelang Oktober, Malaysia perlu bersedia bukan sahaja untuk menyambut kehadiran dunia, malah bagi menekankan bahawa kita mempunyai infrastruktur, penyelenggaraan dan pengurusan kelas pertama, dan apa yang lebih penting adalah memastikan kesemuanya berjalan lancar.
-- BERNAMA