BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

Komitmen ACWA Power Perkukuh Posisi Malaysia Sebagai Pemain Utama Tenaga Mampan Serantau - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Komitmen syarikat penyahgaraman air terbesar dunia, ACWA Power memilih Malaysia sebagai hab utama di Asia Tenggara mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam tenaga mampan serantau dan menyokong usaha ke arah ekonomi rendah karbon, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau yang mengalu-alukan keputusan ACWA Power itu berkata langkah berkenaan adalah satu lagi perkembangan positif hasil kerjasama erat Malaysia dan Arab Saudi, khususnya selepas pertemuan beliau dengan pengasas ACWA Power semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Pada 27 Mei lepas, ACWA Power menandatangani memorandum persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memudah cara pelaksanaan projek pelaburan strategik dalam infrastruktur tenaga bersih di seluruh Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi itu menyasarkan kapasiti sebanyak 12.5 gigawatt  menjelang 2040 dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak US$10 bilion.

“Pelaburan ini mengiktiraf dasar peralihan tenaga Malaysia, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memacu pemindahan teknologi,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman X hari ini.

Perdana Menteri berkata ACWA Power kini menjalin kerjasama strategik dengan TNB Power Generation Sdn Bhd, UEM Lestra Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd untuk membangunkan projek tenaga boleh baharu, hidrogen dan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

-- BERNAMA