Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Berikutan Kelemahan Dolar
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, disokong oleh kelemahan dolar AS berikutan jangkaan yang semakin meningkat terhadap pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam beberapa bulan akan datang.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2185/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2235/2305 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan terkini oleh beberapa pegawai Fed memberi isyarat bahawa pelarasan dasar mungkin diperlukan untuk menangani isu kelemahan pasaran buruh.
Ini sekali gus mencerahkan harapan terhadap pengurangan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang akan datang, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kadar Dana Fed mungkin dikurangkan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat FOMC akan datang, yang dijadualkan pada 16 dan 17 September.
“Langkah ini mungkin memberi impak positif kepada ringgit, memandangkan pengurangan kadar Fed akan mengecilkan perbezaan kadar faedah dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Berdasarkan keadaan pasaran semasa, ringgit dijangka diniagakan antara 4.21 hingga 4.22 berbanding dolar AS hari ini,” katanya.
Sementara itu, pada awal dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8654/8707 daripada 2.8570/8619 ketika ditutup semalam, dan lemah berbanding pound British kepada 5.6342/6442 daripada 5.6160/6253.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.9192/9279 daripada 4.8929/9010.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2824/2885 daripada 3.2806/2863 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0402/0715 daripada 13.0291/0567.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.33/7.35 daripada 7.34/7.36 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 257.8/258.4 daripada 258.1/258.6.
-- BERNAMA