BERITA TERKINI   Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 dijangka dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama 14 Ogos ini - TPM Ahmad Zahid | PM Anwar beri jaminan kerajaan akan terus pantau, sokong MOM, badan sukan selagi utamakan tadbir urus baik | Tiada toleransi terhadap sebarang isu hooliganisme dan keganasan dalam sukan – PM Anwar | PM Anwar mahu ‘Olympic House’, ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia baharu, siap lebih awal daripada dijadualkan pada 2028 | Amerika Syarikat akan memantau secara dekat bagi memastikan Kemboja dan Thailand terus komited, dan bersedia menyokong usaha ASEAN - Duta Besar | 

IPP Malaysia Naik Dengan Ketara 3.0 Peratus Pada Jun 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat dengan ketara sebanyak 3.0 peratus pada Mei 2025 didorong oleh momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu berikutan pertumbuhan output yang menggalakkan dalam pembuatan, yang berkembang sebanyak 3.6 peratus (Mei 2025: 2.8 peratus) terutamanya disumbangkan oleh industri berorientasikan domestik, dan sektor elektrik yang meningkat 4.1 peratus (Mei 2025: -0.1 peratus)

Bagaimanapun, pengeluaran perlombongan kekal dalam jajaran negatif berada pada - 0.01 peratus berbanding -10.2 peratus pada Mei 2025. Ia kembali pulih dengan ketara pada Jun 2025 susulan lonjakan dalam pengeluaran gas asli iaitu 2.3 peratus.

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik melonjak 5.1 peratus pada Jun 2025 berbanding peningkatan 2.6 peratus pada Mei 2025. 

Pertumbuhan pesat itu disokong oleh peningkatan dua digit sebanyak 11.3 peratus dalam pembuatan produk makanan, disusuli dengan kenaikan pengeluaran pembuatan logam asas (6.7 peratus), kenderaan bermotor, treler dan semi treler, yang naik sebanyak 3.4 peratus pada Jun 2025.

Sementara itu, industri berorientasikan eksport merekodkan pertumbuhan malar pada 2.9 peratus, diikuti peningkatan sama yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Pertumbuhan malar ini terutamanya disebabkan oleh penurunan 5.9 peratus dalam pembuatan komputer, elektronik dan produk optikal.

DOSM turut menggariskan pertumbuhan IPP seperti berikut, iaitu Taiwan pada 18.6 peratus, Vietnam pada 10.8 peratus, Singapura pada lapan peratus, China pada 6.8 peratus, Jepun pada empat peratus dan Korea Selatan pada 1.6 peratus.

Amerika Syarikat pula merekodkan pertumbuhan IPP 0.7 peratus dan Thailand pada 0.6 peratus pada Jun 2025.

-- BERNAMA