K'jaan Cadang Tambah Peruntukan I-BAP Susulan Permohonan Meningkat - Ramanan
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bercadang meningkatkan peruntukan bagi Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India (I-BAP) kepada RM10 juta dalam belanjawan akan datang, susulan sambutan luar biasa yang diterima sejak dilancarkan Oktober lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata setakat ini sebanyak RM5.13 juta daripada peruntukan RM6 juta tahun ini telah diluluskan dan akan disalurkan kepada usahawan komuniti India, manakala baki RM800,000 sedang diproses untuk diagihkan.
Beliau berkata permohonan baharu pula mencecah RM2 juta, menjadikan permohonan kini sudah menjangkau RM8 juta.
“Hasil perbincangan bersama Menteri (Datuk Ewon Benedick) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Rizal Nainy, kita akan membawa cadangan menambah peruntukan kepada RM10 juta dalam belanjawan akan datang.
“Sekiranya permohonan terus meningkat kepada RM14 atau RM15 juta tahun hadapan, kerajaan akan mencadangkan tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra serta Penyerahan Surat Tawaran kepada penerima I-BAP di sini hari ini.
Sebanyak 31 syarikat menerima surat tawaran geran bernilai antara RM7,000 hingga RM100,000 mengikut skop projek yang dilaksanakan.
Mengenai penambahbaikan program I-BAP, Ramanan berkata cadangan terkini melibatkan peningkatan kadar padanan geran daripada 50:50 kepada 70:30, selain peluasan skop penggunaan geran bagi pembelian bahan mentah dan bayaran sewaan premis.
“Cadangan ini dikemukakan oleh Rizal dan akan membantu mengurangkan beban kos operasi usahawan kecil. Langkah ini akan memberi ruang kepada mereka menumpukan kepada pertumbuhan dan inovasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chocofac (Malaysia) Sdn Bhd A. Micheal Dass berkata ini merupakan permohonan kedua syarikatnya dan beliau memuji penambahbaikan dari segi permohonan I-BAP yang kini lebih mudah dan inklusif.
Kalau dulu agak rumit, sekarang lebih senang untuk mohon. Bantuan ini bantu kami tambah baik produk dan naikkan jualan. SME Corp juga banyak bantu kami sebelum ini termasuk subsidi pelayaran untuk urusan perniagaan rentas sempadan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MindAppz E-Tuition K. Thinesh Kumar pula berkata I-BAP bukan sahaja membantu pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, malah memberi impak besar kepada syarikat teknologi pendidikan yang memperkenalkan sistem pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI)
Dalam pada itu, Rizal ketika berucap memaklumkan bahawa SME Corp akan menganjurkan SME Venture@ASEAN 2025 sempena Kepengerusian ASEAN yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Okt ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Acara ini membuka ruang besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk menjalin kerjasama rentas sempadan menerusi pelbagai aktiviti seperti ASEAN Market Fair, GoASEAN Biz Match dan Pitch2Go yang dijangka menarik penyertaan negara serantau,” katanya.
-- BERNAMA