BERITA TERKINI   38,804 PMKS seluruh negara didigitalkan melalui Geran Digital PMKS MADANI 2024 - Teo | Bayi lelaki satu tahun 11 bulan di Terengganu meninggal dunia semalam, disyaki didera ayah kandung dan ibu tiri - Polis | Tular mengenai penunggang motosikal dikenakan tol mulai Oktober depan tidak benar - LLM | Tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini - LLM | 

Kurang Minat Belian, Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain berikutan kekurangan minat belian, kata penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit susut nilai kepada 4.2340/2385 berbanding dolar As daripada 4.2235/2305 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran terus dipengaruhi oleh sentimen bahawa tarif AS berkemungkinan memberi impak negatif ke atas ekonomi  negara maju itu yang hanya memerlukan campur tangan Rizab Persekutuan (Fed) dengan mengurangkan Kadar Dana Fed dalam usaha menyokong ekonominya.

Beliau berkata pada masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) berdepan kesukaran untuk terus meningkat susulan kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Fed yang terus mendapat tumpuan.

“Indeks Dolar AS (DXY) turun sebanyak 0.1 peratus kepada 98.074 apabila tarif AS terus menjadi tajuk utama berita,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit berbanding dolar AS pula secara umumnya berada dalam julat lebih kecil iaitu antara 4.22-4.23 dalam tempoh urus niaga hari ini.

Selain itu, prestasi ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8732/8765 daripada 2.8570/8619, susut berbanding pound Britain kepada 5.6596/6656 daripada 5.6160/6253 dan kepada 4.9411/9463 daripada 4.8929/9010 berbanding euro.

Selain itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang serantau lain.

Imi termasuk rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2973/3013 daripada 3.2806/2863, turun berbanding baht Thailand kepada 13.0954/1146 daripada 13.0291/0567, lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.9/260.3 daripada 258.1/258.6 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.44 daripada 7.34/7.36 sebelum ini.

-- BERNAMA