BERITA TERKINI   Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 dijangka dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama 14 Ogos ini - TPM Ahmad Zahid | 

Bahas RMK13: GLC, GLIC Perlu Disusun Semula, Tumpu Pelaburan Sektor Bernilai Tinggi

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan digesa menyusun semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) agar sejajar dengan keutamaan pembangunan negara, terutama dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHB).

Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) berkata banyak GLC di peringkat Persekutuan dan negeri ketika ini dilihat lebih cenderung melabur dalam projek hartanah mewah, pembangunan komersial dan konsesi lebuh raya.

“Persoalannya, mengapa entiti seperti Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih mengutamakan pelaburan dalam sektor ini, sedangkan negara amat memerlukan pelaburan dalam sektor HGHB seperti semikonduktor, elektronik, kimia bernilai tinggi, kecerdasan buatan (AI), farmaseutikal, mesin, automasi dan teknologi hijau?

“Negara masih belum berjaya menarik pelaburan berskala besar dalam sektor ini, sedangkan ia penting untuk membentuk ekonomi berdaya saing dan lestari,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Lee mencadangkan supaya GLC dan GLIC diberikan mandat khusus untuk mempercepat pembangunan sektor berasaskan eksport seperti HGHB, serta memainkan peranan aktif dalam membangunkan perumahan sosial di bandar dan taman perindustrian berteknologi tinggi.

Beliau turut mencadangkan penilaian semula terhadap peranan GLC yang bertindih, termasuk mempertimbang penggabungan atau penamatan operasi bagi meningkatkan kecekapan serta tumpuan terhadap objektif pembangunan negara.

Sementara itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) meminta kerajaan menetapkan semula tarikh sambutan Hari Kraftangan Kebangsaan 2025 yang sebelum ini ditangguhkan.

Beliau berkata sambutan yang diwujudkan sejak 2003 itu telah menjana ratusan juta ringgit kepada pengusaha kraf tangan, khususnya di luar bandar.

“Berdasarkan data Departing Visitor Survey 2024 oleh Tourism Malaysia, aktiviti membeli-belah mencatat 37.4 peratus atau hampir 40 juta pelancong, termasuk pembelian cenderamata seperti barangan kraf tangan,” katanya.

Mas Ermieyati juga menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penganjuran Festival Kraft Antarabangsa Kuala Lumpur yang pernah dilaksanakan sebelum ini, bagi memastikan kesinambungan promosi kraf tangan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Howard Lee Chuan How (PH–Ipoh Timur) pula menyarankan kerajaan memberi tumpuan kepada ekosistem negara menua yang mempunyai pelbagai peluang perniagaan besar, disokong oleh Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045.

Katanya ekonomi penjagaan warga emas mampu menjadi pemacu pertumbuhan baharu menerusi perkhidmatan jagaan di rumah dan komuniti, sekiranya dibangunkan secara menyeluruh dan strategik.

Dalam pada itu, RSN Rayer (PH–Jelutong) membangkitkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh sejak April lepas yang disifatkan perlu diberi perhatian serius oleh pihak polis.

Beliau berkata kehilangan wanita berusia 42 tahun itu secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya menimbulkan kebimbangan rakyat mengenai isu keselamatan.

“Kehilangannya pada waktu siang di pusat pentadbiran negara amat mengejutkan. Polis perlu memberi perhatian kerana rakyat ingin tahu apa sebenarnya berlaku kepada Pamela Ling sehingga kini,” katanya.

Ling dilaporkan hilang pada 9 April lalu selepas menaiki perkhidmatan e-hailing untuk ke SPRM bagi memberi keterangan berhubung satu siasatan. Polis menerima laporan kehilangan pada jam 3.02 petang hari sama.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA