BERITA TERKINI   Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 dijangka dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama 14 Ogos ini - TPM Ahmad Zahid | 

MATFA Gesa Pembaharuan Duti Hiburan Bantu Tingkat Akses B40, Pertumbuhan Pelancongan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan terhadap Akta Duti Hiburan 1953 atau menggantikan undang-undang era kolonial itu yang dilihat membebankan keluarga berpendapatan rendah dan menghalang perkembangan sektor hiburan keluarga.

Presiden MATFA Tan Sri Richard Koh berkata walaupun memuji langkah kerajaan sebelum ini yang mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus bagi taman tema, beliau menegaskan bahawa struktur cukai asal masih lapuk dan memberi kesan negatif kepada akses orang ramai terhadap hiburan keluarga serta pertumbuhan industri.

Beliau berkata akta berkenaan terus menyekat pilihan rekreasi yang mampu milik bagi golongan B40 dan menyeru Kerajaan MADANI melaksanakan pembaharuan jangka panjang bagi membolehkan lebih ramai mempunyai akses ke taman tema di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan.

“Pembaharuan terhadap kadar cukai 25 peratus di bawah akta 1953 itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga B40, malah dapat mencipta ribuan pekerjaan berkaitan sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Koh yang menghadiri sesi Majlis Konsultasi Belanjawan 2026 di sini semalam berkata pengunjung taman tema pada asasnya berbeza daripada penonton pasif di konsert atau pawagam kerana mereka menyertai aktiviti rekreasi keluarga yang sihat dan aktif.

Beliau berkata perbezaan ini sewajarnya diberi layanan cukai yang lebih berpatutan seperti mana diberikan kepada sektor sukan dan riadah di banyak negara lain.

Koh berkata penambahbaikan kerangka cukai juga akan membantu menarik pelaburan baharu ke dalam sektor hiburan keluarga dan memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Selain itu, MATFA turut menggesa agar pembiayaan yang kompetitif dan akses pantas diperkenalkan bagi menyokong pembangunan dan kelestarian taman tema serta destinasi tarikan keluarga di seluruh negara.

“Dengan sokongan dasar yang tepat, sektor ini boleh menjadi tunjang kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya,” katanya.

Sesi konsultasi itu disertai lebih 300 peserta mewakili sektor swasta, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, pemimpin industri serta pegawai kerajaan.

-- BERNAMA