BERITA TERKINI   Presiden Trump dan Rubio gesa kerajaan Kemboja dan Thailand mematuhi sepenuhnya komitmen mereka serta berusaha capai keamanan yang berkekalan - Tommy Pigott | Kami memuji Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dalam menganjurkan mesyuarat khas bersama Amerika Syarikat pada 28 Julai - Tommy Pigott | Amerika Syarikat alu-alukan Mesyuarat GBC di Kuala Lumpur sebagai langkah pertama ke arah pelaksanaan gencatan senjata Kemboja-Thailand - Tommy Pigott | Visi ASEAN 2045 merangka matlamat rantau yang berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat - PM Anwar | Kemasukan Timor-Leste akan melengkapkan perwakilan ASEAN di seluruh Asia Tenggara - PM Anwar | 

Pahang Catat Jumlah Pelaburan RM4 Bilion, Tertinggi Di Pantai Timur Setakat Jun 2025

KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Pahang mencatatkan jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion setakat Jun 2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Wan Rosdy berkata jumlah yang dicapai negeri itu mengatasi Terengganu yang merekodkan pelaburan berjumlah RM1.3 bilion dan Kelantan (RM1.1 bilion).

Beliau berkata dalam tempoh sama, Pahang juga merekodkan pelaburan komited bernilai RM3.5 bilion sekali gus membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan yang kondusif di negeri ini. 

“Pahang turut merekodkan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion pada tahun ini. Ini membuktikan bahawa Pahang kini berada pada landasan yang kukuh sebagai sebuah negeri yang progresif, mesra pelabur dan semakin kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pelaburan tersebut turut mengukuhkan kedudukan ekonomi Pahang terutamanya dalam

sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan yang terus berkembang sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri.

Sementara itu Wan Rosdy berkata Pahang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak 5.7 peratus pada 2024, sekali gus mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion.

“Sejak tahun 2018, KDNK negeri ini telah mencatat peningkatan sebanyak 23 peratus, bersamaan nilai kira-kira RM13 bilion, suatu refleksi kepada pelaksanaan dasar pembangunan yang strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya. 

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan bahawa kestabilan politik, dasar yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan yang mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan negeri.

“Segala pencapaian ini adalah cerminan pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan pertumbuhan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat serta agihan kemakmuran secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Wan Rosdy berkata pihaknya akan terus beriltizam memperkukuh dasar mesra pelaburan, meningkatkan daya saing ekonomi serta memastikan setiap rakyat negeri ini mendapat manfaat langsung daripada kemajuan dicapai bersama. 

-- BERNAMA