Bursa Dibuka Hampir Mendatar Didorong Kebimbangan Berterusan Mengenai Tarif AS
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka hampir mendatar pada Jumaat selepas prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur berikutan pelabur berhati-hati terhadap impak daripada tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Kadar tarif antara 15 peratus dan 50 peratus ke atas negara-negara utama berkuat kuasa pada Khamis walaupun rundingan dengan Washington diteruskan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.28 mata atau 0.02 peratus kepada 1,549.39 daripada 1,549.11 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran sebelum ini dibuka rendah 0.11 mata kepada 1,549.0.
Pasaran secara menyeluruh negatif sedikit, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 157 berbanding 111. Sejumlah 255 kaunter tidak berubah, 1,990 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 158.25 juta saham bernilai RM69.68 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street yang ditutup bercampur-campur menunjukkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati terhadap potensi impak daripada tarif yang dikenakan oleh Trump, dijangka dapat dilihat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meneruskan aliran meningkat, disokong oleh peningkatan yang tidak dijangka untuk eksport China pada Julai, yang naik sebanyak 7.2 peratus berbanding jangkaan pasaran sebanyak 5.6 peratus.
“Selain itu, walaupun kami percaya mungkin terdapat belian asing, kami berharap kali ini mereka akan kekal lebih lama. Hari ini, kami menjangka FBM KLCI diniagakan antara 1,545 dan 1,555,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing naik dua sen kepada RM9.65 dan RM13.78, CIMB meningkat tiga sen kepada RM6.81 dan Public Bank mendatar pada RM4.29. IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM6.91.
Dalam senarai yang diniagakan secara aktif, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, Ekovest merosot satu sen kepada 39.5 sen dan Genting berkurangan empat sen kepada RM2.96. NexG dan Malayan United Industries, masing-masing menambah setengah sen kepada 53.5 sen dan 6.5 sen.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas berkurangan 0.39 mata kepada 11,566.15, Indeks FBM Emas Shariah merosot 7.58 mata kepada 11,598.58 dan Indeks FBMT 100 naik 0.41 mata kepada 11,341.07.
Indeks FBM 70 jatuh 6.69 mata kepada 16,522.28 dan Indeks FBM ACE merosot 14.72 mata kepada 4,616.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 20.22 mata kepada 17,514.68, Indeks Perladangan meningkat 27.14 mata kepada 7,375.88, Indeks Tenaga menambah 0.49 mata kepada 735.17 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.17 mata kepada 157.85.
-- BERNAMA