WORQ Kembang Ruang Kerja Bersama Berasaskan TOD Berikutan Ledakan Kerja Hibrid
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Peralihan yang semakin meningkat ke arah pengaturan kerja hibrid dan fleksibel mendorong permintaan terhadap ruang kerja bersama yang mudah diakses dan lengkap dengan kemudahan di pusat-pusat bandar Malaysia.
Berdasarkan trend itu, penyedia ruang kerja fleksibel tempatan WORQ, sedang mempertingkatkan usahanya untuk memenuhi keperluan berkenaan melalui pengembangan strategik rangkaian ruang kerja bersama berasaskan pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Kini beroperasi di 11 lokasi di Lembah Klang, WORQ menumpukan strategi pertumbuhannya berhampiran dengan pengangkutan awam.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Stephanie Ping berkata syarikat itu menyasarkan untuk membina rangkaian ruang kerja bersama yang terletak dalam jarak 10 minit dari stesen kereta api utama dan hab pertemuan, bagi mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan kebolehcapaian untuk para pekerja moden.
“Matlamat kami untuk mewujudkan rangkaian ruang kerja bersama yang membolehkan orang ramai bekerja berhampiran dengan tempat mereka tinggal atau berulang-alik, sama ada mereka berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya atau Subang.
“Kami mahu mengurangkan kesulitan untuk berulang-alik kembali ke ibu pejabat semata-mata untuk menghadiri mesyuarat atau mencetak dokumen,” kata Ping kepada Bernama.
Beliau berkata TOD kebiasaannya menyediakan akses pengangkutan awam yang lancar dan model WORQ direka untuk memanfaatkan lokasi-lokasi itu bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada golongan profesional yang bekerja secara hibrid atau jauh.
“Memandangkan majikan sektor awam dan swasta kini lebih terbuka kepada idea pengaturan kerja hibrid (di mana sebahagian sektor swasta telah mengamalkannya), para pekerja semakin mencari alternatif kepada ruang pejabat yang berkualiti tinggi dan fleksibel, terutamanya yang selaras dengan rutin perjalanan harian mereka,” kata Ping.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan dan Pengasas Bersama WORQ Andrew Yeow berkata syarikat itu juga memainkan peranan dalam memajukan usaha pendigitalan negara melalui kerjasamanya dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah inisiatif DE Rantau.
Program DE Rantau menyokong nomad digital tempatan dan asing dengan menyediakan infrastruktur penting seperti ketersambungan internet bertaraf perusahaan, perkhidmatan hotdesking (penggunaan ruang kerja yang sama untuk pekerja yang berbeza) dan akses kepada ekosistem yang menyokong.
Yeow berkata kapasiti ruang kerja bersama di Malaysia pada masa ini adalah sekitar satu juta kaki persegi, yang mana jauh lebih rendah berbanding negara seperti United Kingdom yang mempunyai lebih daripada 20 juta kaki persegi.
Sehubungan itu, beliau berkata WORQ menyasarkan untuk berkembang kepada 500,000 kaki persegi, merangkumi sekitar 15 hingga 20 lokasi di seluruh negara menjelang 2027, daripada 300,000 kaki persegi ketika ini.
Yeow berkata akan ada lebih banyak lokasi WORQ dipilih secara strategik berdasarkan faktor kebolehcapaian dan tarikan komuniti, bagi membolehkan syarikat memberikan perkhidmatan kepada pelbagai jenis pengguna — daripada syarikat pemula niaga (start-up) hingga kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerja bebas hinggalah pasukan pekerja jarak jauh dan syarikat multinasional yang menjadikan Malaysia sebagai hab serantau.
“Malaysia memiliki peluang untuk menerajui sektor ruang kerja fleksibel di Asia Tenggara, terutamanya dengan semakin banyak syarikat dari Singapura dan negara lain yang mempertimbangkan untuk membuka pejabat satelit di sini.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah kelebihan ini kerana negara seperti Vietnam juga sedang muncul sebagai pesaing yang kuat memandangkan kos mereka yang lebih rendah,” kata Yeow.
Memandangkan model kerja hibrid terus mengubah landskap budaya kerja global, WORQ menyedari kepentingan membangunkan ruang pejabat yang kukuh, mudah diakses dan sedia untuk diduduki bersama yang dipacu komuniti bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan produktiviti tenaga kerja.
Bagi memenuhi keperluan profesional moden yang semakin berkembang, WORQ menawarkan pakej harga yang fleksibel termasuk pilihan jangka pendek seperti blok 30 minit sehinggalah kepada pas mingguan.
Setiap lokasi dilengkapi sepenuhnya dengan bilik mesyuarat, bilik lembaga pengarah, internet berkelajuan tinggi, pencetak dan pasukan sokongan teknologi maklumat (IT), sekali gus menyediakan persekitaran plug-and-play (tersedia untuk digunakan) bagi perniagaan, komuniti dan juga pelajar.
“Kami melihat semakin banyak syarikat beralih kepada model pejabat ‘teras dan fleksibel’. Ramai yang tidak lagi mahu terikat dengan pajakan jangka panjang atau menyewa ruang pejabat secara penuh.
“Sebaliknya, mereka lebih gemar fleksibiliti iaitu menggunakan ruang apabila diperlukan,” kata Yeow.
Bagi menyokong pertumbuhan ini, Ping berkata WORQ sedang giat bekerjasama dengan pemilik hartanah untuk menukar hartanah yang kurang digunakan menjadi hab ruang kerja bersama yang bertenaga.
Kerjasama ini lazimnya melibatkan pelaburan bersama dalam kerja-kerja pengubahsuaian yang merangkumi penambahbaikan dari segi kemampanan, kemudahan gaya hidup seperti gimnasium, kafe dan ruang komunal yang dipertingkatkan untuk acara dan majlis.
“Golongan profesional masa kini mahukan lebih daripada sekadar meja dan sambungan internet berkelajuan tinggi yang stabil.
“Mereka inginkan gaya hidup yang seimbang, dengan akses kepada aktiviti sosial dan kemudahan kesejahteraan yang dapat mempertingkatkan hari kerja mereka,” katanya sambil menambah bahawa ruang-ruang WORQ direka dengan estetika moden yang diilhamkan daripada Google untuk mewujudkan persekitaran yang menarik, bertenaga dan produktif.
Dengan permintaan yang semakin meningkat, kerjasama yang menyokong dan pelan hala tuju pengembangan yang jelas, WORQ berada pada kedudukan yang baik untuk membentuk masa depan ruang kerja yang fleksibel di Malaysia, membantu individu dan syarikat menyesuaikan diri dengan cara kerja yang lebih dinamik dan penyahpusat.
-- BERNAMA