BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Malaysia Yakin Capai Sasaran Pelaburan RM13 Bilion Di Expo 2025 Osaka - Tengku Zafrul

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

OSAKA (Jepun), 9 Ogos (Bernama) -- Malaysia yakin mampu mencapai sasaran potensi pelaburan berjumlah RM13 bilion menerusi penyertaan di Expo 2025 Osaka, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata setakat ini Malaysia telah mencatat potensi pelaburan dan perdagangan sebanyak RM11.2 bilion, menghampiri sasaran keseluruhan yang ditetapkan.

“Setakat ini, saya dimaklumkan kita telah mencapai potensi pelaburan dan perdagangan sebanyak RM11.2 bilion. Harapnya kita boleh capai sasaranlah. Tak jauh dah tu,” katanya kepada media Malaysia sempena lawatan ke Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka.

Tengku Zafrul berkata pelaburan tersebut melibatkan antara lainnya sektor teknologi hijau, industri halal, tenaga boleh baharu, bioekonomi dan ekonomi digital.

"Kebetulan, minggu ini juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ada di sini. Beliau juga menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman, termasuk satu Memorandum Perjanjian," katanya. 

Dari segi sambutan pengunjung, beliau berkata, Pavilion Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima lebih 2.2 juta pelawat setakat minggu lalu, jauh melebihi sasaran awal 1.5 juta.

“Ini menunjukkan kejayaan Pavilion Malaysia. Bila saya tanya apa yang menarik, saya dimaklumkan roti canai kita dijual (kira-kira) 1,500 keping sehari.

"Harganya tak murah, saya difahamkan lebih RM50 sekeping,” katanya sambil menambah persembahan ‘roti canai terbang’ dan tarian tradisional turut menarik minat ramai pengunjung antarabangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan penyertaan Malaysia dalam Expo 2030 Riyadh, Tengku Zafrul berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri selepas menerima jemputan rasmi daripada pihak penganjur.

“Kami telah mengadakan mesyuarat di pavilion Arab Saudi yang mana mereka membentangkan rancangan mereka untuk World Expo for 2030 di Riyadh.

"Jemputan rasmi untuk menyertai Ekspo akan dihantar dalam masa terdekat. Pengarah Ekspo untuk 2030 akan menghantar jemputan.

“Jadi apabila kami menerima jemputan rasmi, kami akan mempertimbangkan keseluruhan konsep dan saya percaya biasanya langkah seterusnya adalah untuk kami membentangkan kepada kabinet dan kemudian membuat keputusan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sebanyak 25 syarikat Malaysia telah mula meneroka peluang penyertaan dalam kerja pembinaan dan perkhidmatan berkaitan Expo 2030.

"Jadi kami juga ingin tahu perkembangan sama ada mana-mana syarikat Malaysia boleh mengambil bahagian. Mereka berkata mereka terbuka untuk itu untuk menyokong pembinaan World Expo," katanya.

--BERNAMA