MITI Akan Bangun Standard Penggunaan Keluli Dalam Bangunan - Liew
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mewujudkan piawaian keluli yang sesuai bagi penggunaan dalam bangunan.
Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong berkata langkah itu diambil berikutan maklum balas daripada arkitek yang lebih selasa menggunakan keluli tetapi mereka sering berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkaitan dengan jenis dan kualiti keluli.
Walaupun konkrit masih menjadi pilihan utama kerana kos yang agak rendah, beliau berkata, keluli sebenarnya menawarkan beberapa kelebihan lain kerana ia tahan lasak, lebih ringan, dan mudah untuk diubah bentuk yang seterusnya dapat mengurangkan pembaziran bahan sepanjang jangka hayatnya.
Menurut Liew, perkara itu telah dibincangkan pada dialog yang dianjurkannya baru-baru ini melibatkan arkitek, jurutera dan pemain industri keluli untuk membincangkan cara menggalakkan penggunaan lebih banyak keluli dalam bangunan.
“Sepanjang bertugas di MITI, saya telah melihat dan menilai sendiri bahawa Malaysia mempunyai kemampuan yang tinggi, bukan sahaja dalam sektor pembuatan tetapi juga perkhidmatan. Kita perlu mengukuhkan hubungan dalam kalangan industri bagi membolehkan mereka saling mempelajari dan memberi inspirasi antara satu sama lain.
“Menerusi dialog khusus serta maklum balas daripada penggiat industri, kita dapat mencipta suasana yang sesuai untuk mengembangkan inovasi, dan membentuk semula industri di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA