BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM 2-2 DPMM | Liga Super: Kuching City 4-0 Kelantan TRW | Qari dan qariah Malaysia dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran bagi kategori masing-masing pada MTHQA ke-65 | Liga Super: Imigresen 0-3 KL City | 

KUSKOP Lancar Misi Perdagangan Antarabangsa Ke China Perkasa Jenama Francais Malaysia

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) melancarkan misi perdagangan antarabangsa ke China bermula 8 hingga 10 Ogos ini.

KUSKOP berkata misi tersebut diadakan bersempena Ekspo Francais China 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Baru Shanghai (SNIEC).

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan bersama wakil daripada Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), MFA serta sembilan jenama francais terkemuka Malaysia.

Antara jenama yang menyertai misi tersebut ialah Marrybrown, HOME Maths Therapy, Q-Dees, Smart Reader Kids, Midyson, US Pizza, Kenny Rogers Roasters, D’Sara Fried Chicken dan Happy Potato.

"Inisiatif ini bertujuan membuka akses baharu kepada jenama francais tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa khususnya China yang merupakan antara ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.

KUSKOP berkata penyertaan itu merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) yang dirangka untuk memperluas kehadiran francais Malaysia di peringkat global.

"Antara kejayaan terdahulu menerusi EFDP termasuklah Marrybrown di Australia, Global Art di Maghribi, Laundrybar di Thailand dan Little Caliphs di United Kingdom,” katanya.

Sementara itu, Ramanan berkata industri francais Malaysia memiliki potensi besar untuk berkembang di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, misi itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan jenama tempatan di luar negara, malah mewujudkan peluang kerjasama strategik bersama rakan niaga antarabangsa.

"KUSKOP komited untuk menjadikan jenama francais Malaysia sebagai pilihan utama di pasaran global," katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut KUSKOP, misi perdagangan ke China itu merupakan misi sulung dalam kalendar EFDP bagi tahun ini.

"Ia akan disusuli dengan misi serantau ke Jepun, Kazakhstan dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung sehingga Oktober 2025," katanya.

KUSKOP berkata sepanjang lawatan ke China, delegasi Malaysia turut mengadakan sesi perbincangan meja bulat bersama China Chain Store and Franchise Association (CCFA) bagi meneroka peluang kerjasama dua hala serta memahami dengan lebih mendalam kehendak pasaran francais tempatan.

"Penyertaan aktif dan berstrategik syarikat francais Malaysia dalam misi ini jelas mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan tinggi pemain industri untuk bersaing di pentas antarabangsa.

"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau ASEAN," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA