Pulau Pinang Sasar KDNK RM156 Bilion Pada 2030 Dibawah Pelan Induk Ekonomi Digital

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar Pulau Pinang (KDNK) dari RM116 bilion pada 2023 kepada RM156 bilion menjelang 2030 adalah antara metrik utama yang mencerminkan kejayaan Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP) 2025-2030 yang baru dilancarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri, Zairil Khir Johari berkata pelan strategik itu bertujuan untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 35 peratus daripada KDNK Pulau Pinang menjelang 2030, pada masa yang sama, mensasarkan pelaburan digital sehingga RM20 bilion dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) serta RM130 bilion melalui pembuatan semikonduktor termaju.

Pelan itu juga menggariskan beberapa sasaran sosio-ekonomi yang merangkumi peningkatan pendapatan isi rumah median negeri sebanyak 17 peratus kepada RM7,700 menjelang 2030, mewujudkan 50,000 pekerjaan digital baharu selain melonjakkan kemahiran 30 peratus daripada tenaga kerja.

“DEMP Pulau Pinang 2025-2030 bukan semata-mata dokumen, ia adalah pelan tindakan untuk tindakan, saranan bagi membangunkan sebuah pulau digital yang terhubung, kompetitif dan inklusif.

“Kami mahu mengubah penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan bilangan perniagaan yang siap digital dan tenaga kerja yang mahir digital, menarik pelaburan digital yang lebih besar ke dalam ekosistem ekonomi dan menjadikan Pulau Pinang sebagai tapak ujian serta hab bagi teknologi baru muncul,” katanya semasa pelancaran DEMP 2025-2030 di Sidang Kemuncak Digital Pulau Pinang (PDES) 2025.

Matlamat lain termasuk mengurangkan intensiti tenaga sebanyak 25 peratus dan memajukan penggunaan tenaga boleh baharu kepada 10 peratus menjelang akhir tempoh pelan. 

 Zairil memberitahu DEMP itu disusun pada sekitar empat tonggak strategik iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital, Masyarakat Digital dan Asas Digital dengan disokong oleh 16 inisiatif untuk memastikan pulau itu dapat mencapai wawasan, misi dan matlamat strategiknya.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang merasmikan pelancaran tersebut berkata DEMP 2025-2030 berfungsi sebagai pelan arah strategik jangka panjang yang bertujuan menempatkan Pulau Pinang sebagai ekonomi yang berpusatkan pendigitalan yang memberi tumpuan kepada inovasi, infrastruktur, pembangunan bakat dan akses digital yang inklusif.

Beliau menekankan bahawa pelan itu memberikan strategi yang jelas dalam memastikan pekerja termasuk warga emas diperkasakan melalui alat digital, program serta perkhidmatan yang boleh diakses dan mesra umur,

“Dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke13 baru-baru ini, agenda negara sedang beralih ke arah ekonomi yang lebih inklusif, berteknologi tinggi dan tidak lapuk.

“Ekonomi digital memainkan peranan penting dalam ketahanan ekonomi negeri, menyumbang dengan ketara kepada sektor perkhidmatan kami, menokok sehingga 50 peratus daripada KDNK negeri setiap tahun. Ini adalah isyarat yang jelas bahawa kami berada di laluan yang betul,” katanya.

Chow juga menegaskan bahawa di bawah pelan induk transformasi digital sebelumnya (DTMP) 1.0 dari 2021 hingga 2023, lebih 60 peratus daripada 21 inisiatif yang digariskan telah siap atau sedang dilaksanakan, dengan penjajaran yang kukuh untuk matlamat strategik negara.

DEMP 2025-2030 mewakili komitmen jangka panjang untuk memajukan ekosistem digital Pulau Pinang selain memupuk usaha kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri serta peneraju teknologi.

-- BERNAMA