Industri Teknologi Perubatan 'Permata Tersembunyi' Pulau Pinang, Tawar Potensi Besar
Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 10 Ogos (Bernama) – Industri teknologi perubatan Pulau Pinang muncul sebagai salah satu sektor paling berpotensi di negeri ini dengan prospek pertumbuhan kukuh, disokong oleh permintaan global, keupayaan tempatan dan ekosistem yang padu.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian berkata kepakaran kejuruteraan kejituan dan automasi negeri, hasil sampingan industri semikonduktor Pulau Pinang yang berkembang maju, telah memainkan peranan penting dalam pengembangan teknologi perubatan di negeri ini.
“Dalam semikonduktor, kejituan dan automasi adalah penting, dan kemahiran ini dipindahkan terus bagi menghasilkan instrumen pembedahan, implan dan peranti perubatan ketepatan tinggi.
"Malah, teknologi perubatan sering memerlukan kejituan yang lebih tinggi daripada semikonduktor," katanya kepada Bernama
Industri teknologi perubatan juga mendapat manfaat daripada perkembangan dalam pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) kerana peranti perubatan seperti perentak jantung, sistem pemantauan glukosa dan peralatan diagnostik memerlukan komponen elektronik dan mekanikal yang canggih.
Loo menyifatkan teknologi perubatan sebagai "permata tersembunyi" kerana tidak seperti sektor semikonduktor yang mempunyai kitaran, industri itu menawarkan pertumbuhan stabil dan margin keuntungan lebih tinggi, membolehkan syarikat membuat pelaburan besar melatih bakat (tenaga kerja).
"Kestabilan ini juga menarik bakat, kerana pekerjaan dalam teknologi perubatan kurang berdepan dengan risiko pembekuan pengambilan kerja atau pemberhentian kerja secara tiba-tiba," katanya.
Di peringkat global, beliau berkata kluster teknologi perubatan terkemuka seperti di Amerika Syarikat, Ireland, Puerto Rico dan Costa Rica memacu pertumbuhan sejak sedekad lalu dengan sokongan daripada kerajaan masing-masing.
Menurutnya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini banyak syarikat telah berkembang ke Asia disebabkan tekanan kos dan perubahan dasar serta dipacu oleh peningkatan penduduk berusia yang kaya di rantau ini.
Beliau berkata banyak syarikat tertarik untuk menubuhkan operasi di Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai pangkalan industri yang matang, tenaga kerja mahir dan rangkaian pembekal maju.
Selain itu, katanya, penyertaan tempatan dalam sektor itu juga semakin meningkat, dengan firma tempatan seperti Straits Orthopedics dan UWC Healthcare kini mengeluarkan produk untuk pasaran global.
Loo berkata Invest Penang telah memudahkan pertumbuhan mereka dengan menganjurkan pameran serta sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan dan rakan industri untuk mempamerkan produk dan menggalakkan penyertaan syarikat dalam pemerolehan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan tidak menentu ketika ini industri itu turut berdepan dengan beberapa cabaran utama termasuk Akta Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat yang mengehadkan nilai produk yang dibekalkan Malaysia dalam kontrak kerajaan AS; ketegangan geopolitik dan tarif; serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan.
Namun begitu, di sebalik halangan ini, beliau tetap optimis dengan prospek bagi tempoh lima tahun akan datang dan InvestPenang sentiasa mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat teknologi perubatan mengenai potensi pelaburan.
"Dengan penduduk Asia yang semakin menua dan semakin berada, permintaan terhadap peranti perubatan canggih dijangka terus meningkat. Kami menjangkakan lebih banyak jenama global akan bertapak di sini, terutamanya dalam produk mewah, dan kami menyasar untuk mengukuhkan peranan syarikat tempatan dalam industri ini," katanya.
-- BERNAMA