Bursa Kekal Tinggi Pada Tengah Hari, Seiring Dengan Pasaran Serantau
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari, melepasi paras 1,560 seiring dengan kenaikan di pasaran serantau berikutan sentimen kembali menjadi positif.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.39 mata atau 0.35 peratus kepada 1,562.37 daripada 1,556.98 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.76 mata kepada 1,557.74 dan bergerak antara 1,554.95 hingga 1,563.43 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan 452 kaunter untung mengatasi 431 kaunter rugi, manakala 461 kaunter tidak berubah, 1,179 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.49 bilion unit bernilai RM971.60 juta.
Mengulas mengenai prestasi pasaran, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan sentimen pasaran kekal positif berikutan janji oleh Apple untuk melabur US$100 bilion (US$1=RM4.23) di Amerika Syarikat (AS), yang mungkin mencetuskan peluang dagangan dalam sektor perbankan, pembinaan dan teknologi di AS.
“Para peniaga pada minggu ini akan memantau data inflasi utama seperti indeks harga pengguna dan indeks harga pengeluar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi pasaran domestik, firma pembrokeran itu menjangkakan minat belian akan berterusan ke dalam bursa tempatan susulan petunjuk positif dari Wall Street pada Jumaat lalu.
“Selain itu, kami memilih Itmax System Bhd kerana berjaya meraih projek yang konsisten di Johor; dengan potensi memperoleh projek di Pulau Pinang bagi mengulangi kejayaan di Johor serta asas hasil berulang yang kukuh, biasanya menjangkau lebih lima hingga 10 tahun,” katanya.
Sementara itu, ia berkata Inari Amertron Bhd dan Frontken Corporation Bhd kekal menjadi tumpuan kerana saham-saham syarikat itu merupakan proksi utama kepada pelaburan pembuatan Apple dan pengumuman terbaru mengenai kemungkinan tarif 100 peratus ke atas semikonduktor oleh pentadbiran AS.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM9.67, Public Bank meningkat 2.0 sen kepada RM4.35, dan CIMB bertambah 9.0 sen kepada RM6.95, manakala Tenaga Nasional susut 20 sen kepada RM13.60 dan IHH Healthcare turun 5.0 sen kepada RM6.91.
Dalam dagangan aktif, Classita menambah 1.0 sen kepada 9.0 sen, Pharmaniaga naik setengah sen kepada 18.5 sen, Top Glove meningkat 2.0 sen kepada 61.5 sen, Zetrix AI menokok 1.5 sen kepada 89 sen, manakala NexG susut 12.5 sen kepada 41 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 45.47 mata kepada 11,647.26, Indeks FBMT 100 meningkat 45.85 mata kepada 11,425.76, Indeks FBM Emas Shariah naik 24.42 mata kepada 11,658.60, Indeks FBM ACE bertambah 3.21 mata kepada 4,610.09 dan Indeks FBM Mid 70 melonjak 94.89 mata kepada 16,600.42.
Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 119.77 mata kepada 17,700.59, Indeks Perladangan bertambah 54.56 mata kepada 7,480.68, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan mengukuh 1.37 mata kepada 159.13, namun Indeks Tenaga susut 0.40 mata kepada 736.32.
-- BERNAMA