BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Eksport Minyak Sawit Naik 3.82 peratus, Keluaran MSM Menambah 7.09 Peratus Pada Julai - MPOB

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 3.82 peratus bulan ke bulan kepada 1.30 juta tan pada Julai daripada 1.26 juta tan pada Jun, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

MPOB dalam laporan bulanan mengenai Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Julai 2025 hari ini berkata Malaysia mengeluarkan 1.81 juta tan minyak sawit mentah (MSM) bulan lepas, meningkat 7.09 peratus daripada 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya. 

Pengeluaran isirung sawit meningkat 8.75 peratus bulan ke bulan kepada 431,615 tan daripada 396,879 tan pada Jun.

Sementara, pengeluaran minyak isirung sawit mentah menambah 13.27 peratus bulan ke bulan kepada 218,239 tan daripada 192,665 tan sebelumnya, manakala hampas isirung sawit meningkat 11.77 peratus bulan ke bulan kepada 238,511 tan daripada 213,398 tan.

Mengenai inventori, MPOB berkata stok simpanan MSM menyusut 2.02 peratus kepada 1.02 juta tan pada Julai berbanding dengan 1.04 juta tan pada Jun, manakala stok minyak sawit yang diproses meningkat 10.38 peratus bulan ke bulan kepada 1.09 juta tan daripada 988,779 tan sebelumnya.

Ini menjadikan inventori minyak sawit lebih tinggi sebanyak 4.02 peratus kepada 2.11 juta tan pada Julai daripada 2.03 juta tan pada Jun.

Selain itu, eksport isirung sawit naik 3.70 peratus kepada 90,028 tan daripada 86,814 tan pada Jun, manakala eksport hampas isirung sawit menokok 33.97 peratus bulan ke bulan kepada 254.239 tan daripada  189,774 tan.

Eksport oleokimia meningkat 22.27 peratus bulan ke bulan kepada 248,923 tan daripada 203,590 tan, dan eksport biodiesel melonjak 1,662.25 peratus kepada 49,195 tan bulan ke bulan daripada 2,792 tan. 

Import MSM pada Julai berada pada 7,816 tan berbanding sifar pada Jun, manakala import minyak isirung sawit menokok 105.57 peratus bulan ke bulan kepada 24,516 tan daripada 11,926 tan pada Jun.

-- BERNAMA