BERITA TERKINI   Liga Super: Terengganu 2-2 PDRM FC | Kes kematian Zara Qairina: UMNO sokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara supaya inkues penuh dijalankan - Asyraf Wajdi | Liga Super: KL City 1-1 Sabah | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mencerminkan kenaikan semalaman Wall Street selepas angka indeks harga pengguna Amerika Syarikat (AS) berada di bawah jangkaan, atas faktor ini ia mungkin akan menurunkan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS bulan depan.

AS merekodkan kadar inflasi lebih perlahan sebanyak 2.7 peratus pada bulan Julai, di bawah anggaran konsensus untuk indeks harga pengguna (IHP) tajuk pada 2.8 peratus dan IHP teras pada 3.0 peratus untuk Julai.

Pada jam 9.17 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.30 mata atau 0.15 peratus kepada 1,570.20 daripada 1,567.90 ketika ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 1.17 mata kepada 1,569.07.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 286 berbanding 107 manakala 269 kaunter tidak berubah, 1,860 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 298.39 juta saham bernilai RM112.24 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata keseluruhan dagangan kekal hambar kerana kebanyakan peniaga berada di luar pasaran menjelang pengumuman lebih banyak data ekonomi dan pendapatan korporat.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup lebih tinggi bagaimanapun tidak mencapai paras tertinggi hari ini, mungkin disebabkan aktiviti pengambilan untung.

“Walaupun kenaikan 30 mata dalam tempoh lima hari lepas, kami berpendapat bahawa penilaian Bursa Malaysia kekal munasabah, justeru menjangkakan indeks akan menuju paras 1,600,” katanya kepada Bernama.

Untuk hari ini, beliau menjangkakan indeks akan berada dalam dalam julat 1,565-1,580.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.73, CIMB meningkat 6.0 sen kepada RM7.07, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.39, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM13.58 and RM6.82.

Bagi saham aktif, NexG naik 1.0 sen kepada 41 sen, Efficient E-Solutions meningkat 1.5 sen kepada 12.5 sen, Lotte Chemical Titan melonjak  2.5 sen kepada 56.5 sen, manakala Classita dan TWL tidak berubah, masing-masing pada 9.5 sen and 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 28.13 mata kepada 11,703.63, Indeks FBMT 100 meningkat 26.42 mata kepada 11,482.60 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 21.64 mata kepada 11,687.02.

Indeks FBM ACE naik 3.07 mata kepada 4,641.21 dan Indeks FBM 70 menokok 80.44 mata kepada 16,681.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 62.95 mata kepada 17,887.60, Indeks Perladangan naik 16.16 mata kepada 7,547.97, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.17 mata kepada 160.23 dan Indeks Tenaga menambah 1.18 mata kepada 739.56.

-- BERNAMA